Kebuluran dan kehilangan tempat tinggal bukti genosid di Gaza

Kebuluran dan kehilangan tempat tinggal bukti genosid di Gaza

GENEVA – Kebuluran dan kekurangan tempat tinggal akibat musnah selepas diserang Israel memburukkan lagi keadaan “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza.

Pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese berkata, 45% penduduk Gaza mengalami kelaparan yang teruk.

Beliau merupakan pelapor khas mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967.

Menurutnya, di sesetengah kawasan 9 daripada 10 keluarga tidak makan dalam tempoh 24 jam.

“Situasi ini memburukkan lagi tuduhan pembunuhan beramai-ramai, kerana kemusnahan fizikal boleh berlaku melalui kebuluran.

“Jika bilangan orang yang mengalami kelaparan teruk adalah “keterlaluan” seperti yang didakwa oleh Israel, mengapa media dan pemantau hak asasi manusia tidak boleh memasuki Gaza,” soal beliau.

Mengenai situasi perumahan, Balakrishnan Rajagopal yang juga pelapor khas PBB berkata, kira-kira 56% rumah di Gaza musnah atau rosak.

“Gaza Utara paling teruk terjejas sehingga 82% musnah atau rosak,” kata Rajagopal sambil mahu Mahkamah Jenayah Antarabangsa menjadi situasi ini sebagai bukti pembunuhan beramai-ramai.

Afrika Selatan telah memfailkan tuntutan mahkamah pada 29 Disember, mendakwa Israel melanggar Konvensyen PBB 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid dengan tindakannya di Gaza sejak 7 Oktober.

Turkiye, Bolivia, Jordan dan Malaysia, antara lain, telah pun memberi isyarat sokongan untuk kes itu.

Israel telah menggempur Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 23,357 rakyat Palestin dan mencederakan 59,410 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Israel melepaskan kekuatan tenteranya ke atas Gaza selepas Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang Israel dalam serangan 7 Oktober lalu.

Kira-kira 85% penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal, manakala kesemua mereka tidak terjamin makanan, menurut PBB. – Agensi