Kecuaian pemandu van dipercayai punca kemalangan

Kajang: Kecuaian ketika memandu dipercayai punca berlakunya kemalangan di Jalan Saujana Impian dekat hadapan sebuah pasar raya di sini, hari ini yang menyebabkan suami isteri maut dan dua anak mereka cedera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suami isteri berusia 42 dan 40 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala, dua anak mereka dirawat di Hospital Kajang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu van berusia 28 tahun dari arah Semenyih menghala Kuala Lumpur, yang hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan, sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Perodua Bezza dinaiki empat sekeluarga yang menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di lokasi, manakala dua penumpang belakang cedera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pemandu van terbabit yang tidak cedera dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Difahamkan, anak mangsa yang cedera berusia tujuh dan 14 tahun cedera.

Berita berkaitan

Suami isteri maut, dua anak cedera kemalangan