Kedah jangka mula lombong REE tahun depan

Kedah jangka mula lombong REE tahun depan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kedah dijangka mula melombong unsur nadir bumi (REE) pada tahun depan susulan penemuan sumber mineral itu di tapak milik salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC).

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lokasi tapak baharu itu bukan terletak di kawasan hutan simpan, namun enggan mendedahkan butiran lanjut.

Menurutnya, pelombongan di kawasan itu tidak terikat dengan polisi nombor 12 Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam hutan simpan.

“Salah satu daripada tiga pelabur yang diberi lesen menjelajah (EL) REE telah menyatakan komitmen untuk bawa masuk teknologi dari Amerika Syarikat (AS) dan kita bersedia untuknya.

“Pertamanya kena buat proses pengeringan diikuti mengekstrak beberapa elemen, sebelum pergi ke sektor hiliran untuk membuat bateri.

“Teknologi sudah ada, cuma tunggu kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk proses itu dimulakan. Insya-Allah, kita nak ‘jalan’ yang itu dulu. Tahun 2025 nanti insya-Allah REE akan jadi pendapatan baharu Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohd Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) yang bertanyakan mengenai persediaan kerajaan negeri dalam menerima teknologi luar berkaitan REE pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, ketika ini terdapat dua kuasa besar yang memiliki teknologi memproses mineral terbabit iaitu AS dan China.

Bagaiamanapun katanya, polisi China lebih ketat tetapi teknologi yang dimiliki negara itu lebih baik sehingga mampu memproses 17 elemen REE berbanding teknologi AS yang hanya mampu memproses tujuh elemen, setakat ini.

“China menetapkan polisi bahawa teknologi mereka tidak boleh dibawa keluar, manakala polisi kerajaan kita pula tak benarkan REE mentah dihantar keluar.

“Sebelum ini, ada konglomerat mahu labur hingga RM400 juta dan buat tawaran untuk bawa teknologi China ke sini, tetapi sampai sekarang tak mai (datang).

“Jadi saya kata, kita ‘jalan’ dulu yang tujuh elemen itu dan kerajaan negeri akan ambil pendekatan berhati-hati untuk sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP). Bermula 2025, kita ada tekad untuk pastikan perkara ini dapat diselesaikan dan kalau tak selesai juga, kita akan cari jalan untuk bagi selesai,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah membuat tawaran agar kawasan Bukit Enggang di Sik dijadikan sebagai projek perintis bagi melihat kesan mengekstrak REE kepada dirian hutan.

“Saya difahamkan di beberapa kawasan yang dibuat pengekstrakan REE secara haram menggunakan kaedah larut resap insitu (ISL), pokoknya lebih hijau kerana prosesnya guna ammonia, tetapi kajian secara saintifik belum dapat dilaksanakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top