firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) bukan noktah buat Johor Darul Ta’zim (JDT), sebaliknya dianggap satu lagi ‘checkpoint’ dalam perjalanan panjang Harimau Selatan memburu status gergasi Asia.
Walaupun tewas 1-2 kepada juara bertahan Al-Ahli di suku akhir, aura positif tetap menyelubungi kem JDT yang bangga dengan pencapaian bersejarah mara sejauh itu buat kali pertama.
Lebih menarik, reaksi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mencuri perhatian apabila baginda memberi ‘mesej mendalam’ mengenai perjalanan pasukan itu.
“Hidup adalah maraton, bukan pecutan. Nikmatilah perjalanan itu, setiap hari adalah satu rahmat,” titah baginda ringkas, namun cukup bermakna buat seluruh warga Harimau Selatan.
Kenyataan itu seolah-olah memberi bayangan jelas bahawa projek jangka panjang JDT masih berada di landasan tepat, walaupun impian ke separuh akhir tidak kesampaian musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Luis Garcia turut senada apabila memuat naik gambar skuad selepas perlawanan sambil menegaskan rasa bangga terhadap komitmen pemain dan memberi isyarat bahawa JDT akan kembali lebih kuat.
Di bilik persalinan, rasa kecewa jelas dirasai pemain, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus bangkit dan memperbaiki diri.
Pemain tengah, Oscar Arribas mengakui kekalahan itu perit untuk diterima, terutama ketika peluang ke separuh akhir tampak begitu hampir dalam genggaman.
Namun bagi Arribas, kekalahan itu adalah sebahagian daripada proses mematangkan pasukan dan membina mentaliti lebih kental untuk cabaran akan datang.
Penyerang Marcos Guilherme pula menegaskan JDT meninggalkan pentas ACLE dengan penuh kebanggaan selepas memberikan segala-galanya demi lencana di dada, sambil berjanji perjuangan musim ini belum berakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd



