Kedah rangka garis panduan larang pelihara anjing agresif di taman perumahan

Kedah rangka garis panduan larang pelihara anjing agresif di taman perumahan

am@hmetro.com.com.my

Baling: Kerajaan negeri sedang merangka garis panduan bagi melarang anjing jenis agresif dan berbahaya dipelihara di kawasan perumahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata, ia susulan insiden lima mangsa diserang dua anjing baka Rottweiler yang terlepas di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini, kelmarin.

Menurutnya, beliau bersama beberapa pihak yang terbabit termasuk wakil penduduk sudah berjumpa dengan pemilik anjing berkenaan.

“Hasil perbincangan, ia berlangsung dengan harmoni di mana pemilik telah bersetuju untuk menyerahkan anjing miliknya kepada Pejabat (Jabatan Perkhidmatan) Veterinar untuk dilupuskan.

“Anjing jenis garang ini tidak sesuai dibela di kawasan taman, tambahan sudah ada dua kes dan kes kali ini melibatkan lima mangsa, ini sangat serius.

“Kita merangka garis panduan selepas ini kemungkinan besar, kita tak akan benarkan anjing spesis garang dibela di kawasan perumahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mansor berkata, beliau turut melawat kesemua mangsa iaitu tiga daripada mereka dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan dua lagi di hospital swasta di Sungai Petani.

Katanya, kesemua mangsa dalam keadaan agak stabil termasuk ada yang menjalani pembedahan akibat digigit anjing-anjing berkenaan.

“Luka mereka agak parah, seorang mak cik yang kena serang paling awal dia agak trauma, seorang yang sedang joging agak parah dan kesemua mereka trauma.

“Mereka berharap kes ini dapat diselesaikan sebaik mungkin dan sebab itu kita akan rangka garis panduan bagi mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku lagi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lima individu cedera selepas digigit dua anjing berkenaan yang terlepas dari rumah pemiliknya di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Amar Talib berkata, dua anjing baka Rottweiler yang menyerang lima individu itu sudah dilupuskan, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top