am@hmetro.com.my
Melaka: Melaka: Pemergian suami yang meninggal dunia akibat serangan jantung bulan lalu, mengubah rutin kehidupan seorang rumah terutama untuk membesarkan dua anaknya.
Noor Azlianawani Abdul Razak, 38, berkata pemergian suaminya, Nur Hisyamuddin Abdul Rahman, 45, yang bekerja sebagai penarik kereta menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan utama keluarga.
Katanya, dia kini perlu menyara anak sulung berusia 15 tahun serta anak bongsu berusia setahun tujuh bulan, selain memikirkan komitmen termasuk sewa rumah RM700 sebulan.
“Bukan setakat patah kaki, tetapi dunia terasa gelap. Saya perlu kuat demi anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, di sini, hari ini.
Wanita kelahiran Terengganu itu, dia mengambil masa 10 tahun untuk membuka hati sebelum mendirikan rumah tangga dengan arwah lima tahun lalu.
“Tak sangka suami pergi secepat itu, malah kejadian berlaku ketika arwah sedang menyuap makanan kira-kira 11 malam.
“Arwah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya.
Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut melawat bagi membantu mencari penyelesaian, termasuk berkaitan kediaman.
Memandangkan masih dalam tempoh idah dan tiada kenderaan, Noor Azlianawani berharap dapat memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual makanan di hadapan rumah bagi menyara keluarga.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1110041100022042 atas nama Noor Azlianawani Abdul Razak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




