Kedah tawar rumah bertingkat di bandar tampung kekangan tanah

Kedah tawar rumah bertingkat di bandar tampung kekangan tanah

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Kedah bersedia menawarkan lebih banyak rumah bertingkat untuk penduduk miskin dalam bandar sebagai alternatif mengatasi masalah kediaman tidak mencukupi.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana kerajaan negeri berdepan kekangan tanah yang terhad untuk dibangunkan taman perumahan di bandar-bandar utama di Alor Setar, Sungai Petani, Kubang Pasu dan Kulim.

“Kita akan mencari tanah bersesuaian untuk menyediakan kediaman bertingkat berbanding taman perumahan yang memerlukan keluasan tanah… dalam bandar, kita ada kediaman orang Melayu khususnya yang tinggal di pinggir sungai, rezab jalan atau tanah kerajaan.

“Saya dah bincang dengan beberapa pegawai daerah untuk sediakan lot kediaman, namun saya sarankan bina rumah bertingkat sebab jika bina rumah atas tanah (perumahan) tak dapat penuhi permintaan ramai,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) mengenai perancangan kerajaan negeri menyediakan kediaman kepada penduduk dalam bandar.

Katanya, bandar-bandar utama berkenaan mengalami ketidakcukupan tanah untuk dibangunkan kediaman susulan kepesatan sektor industri dan pembangunan.

“Ia antara tekanan kepada kerajaan negeri dalam membina kediaman kepada penduduk. Jadi kita perlu semai budaya menetap rumah bertingkat kepada rakyat, dan kita juga akan sediakan kemudahan asas.

“Kita usaha untuk sediakan rumah kepada penduduk miskin bandar. Orang Melayu tak perlu keluar dari bandar bila kita tawarkan rumah bertingkat supaya berlaku keseimbangan dan keharmonian kaum,” katanya.

Katanya, pembinaan rumah bertingkat tidak dapat dielakkan berikutan rakyat Kedah semakin bertambah, selain tanah terhad serta bertembung dengan kepentingan untuk kediaman, industri dan pertanian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top