am@hmetro.com.my
Nilai: Sekumpulan individu bertopeng merompak sebuah kedai emas di sebuah kompleks beli-belah di sini, pada kira-kira 8.45 malam tadi, tidak lama selepas kebanyakan pengunjung selesai berbuka puasa malam ini.
Dua rakaman video kejadian itu kini tular di media sosial, dengan salah satu daripadanya jelas menunjukkan dua lelaki bertopeng mengambil barang kemas emas dari kotak pameran.
Rakaman pendek itu turut menunjukkan salah seorang suspek membawa pistol dan berjaga-jaga, manakala rakannya mengisi barang kemas ke dalam beg yang mereka bawa.
Kedua-dua suspek kemudian dilihat melarikan diri dari tempat kejadian bersama hasil rompakan.
Mereka menutup keseluruhan badan, termasuk memakai topeng muka dan sarung tangan.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, pasukan polis dan forensik di lokasi kejadian untuk mengumpul bukti.
“Siasatan masih dijalankan di tempat kejadian. Kami akan mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd