Polis siasat kekecohan, ugutan jenayah ketika MATC PKR Kuala Selangor

Polis siasat kekecohan, ugutan jenayah ketika MATC PKR Kuala Selangor

am@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden kekecohan dan ugutan jenayah yang berlaku ketika Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) PKR Kuala Selangor, selepas seorang wanita mendakwa diugut dengan kata-kata berunsur ancaman.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita terbabit yang mendakwa seorang lelaki mengeluarkan ugutan terhadapnya dengan menyebut perkataan ‘angkat parang’ sebelum bertindak mendekatinya dan membuat provokasi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Terdahulu, video berdurasi empat minit tujuh saat yang memaparkan pergaduhan di MATC PKR Kuala Selangor tular di aplikasi Telegram, dengan dakwaan seorang bekas calon parti membawa gengster kongsi gelap untuk menghalau pencabarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top