Kedai runcit jual rokok dan arak tidak bercukai diserbu, rampasan RM416,668

Kedai runcit jual rokok dan arak tidak bercukai diserbu, rampasan RM416,668

mhafis@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: Kegiatan sebuah kedai runcit di Kulim, Kedah yang menjual rokok dan minuman keras tidak bercukai serta barang kawalan mengundang padah apabila diserbu polis dengan nilai rampasan keseluruhan RM416,668, Khamis lalu.

Serbuan dijalankan jam 11 pagi menerusi operasi integrasi intra/inter agensi oleh pasukan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNDKA) Bukit Aman.

Pengarah JKNDKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, serbuan dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Kedah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah serta Majlis Perbandaran Kulim (MPK).

Menurutnya, serbuan dilakukan ke atas sebuah kedai runcit yang terletak di Kulim, Kedah berjaya menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dan hasil pemeriksaan turut merampas 118,520 batang rokok disyaki tidak berkastam; 333 botol dan tin minuman keras disyaki tidak berkastam; seekor ular sawa jenis ball python; 62 tong gas yang berisi gas petroleum cecair (LPG); dan wang tunai RM35,000.

“Hasil operasi ini mengesan pelbagai kesalahan dan siasatan yang dijalankan menjurus kepada Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 60(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Undang-undang Kecil 3(1).

“Operasi ini dilancarkan bagi membanteras sebarang kegiatan yang mampu memberikan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata, aktiviti penyeludupan akan menggalakkan kegiatan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyelewengan barangan berupaya merencatkan perkembangan ekonomi negara.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dalam apa-apa kegiatan atau kesalahan sama ada berkaitan penyeludupan rokok dan arak, penyelewengan barangan kawalan bersubsidi, penyimpanan atau pemerdagangan hidupan liar tanpa lesen, atau sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang dalam negara ini yang mampu menimbulkan kegusaran dalam masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top