kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada pada kedudukan kewangan yang jauh lebih kukuh dan mampan berbanding 2018 hasil pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan bagi melindungi simpanan pendeposit serta memastikan kelangsungan institusi berkenaan.
TH menerusi kenyataan berkata, kejayaan itu terbukti apabila kos haji dapat dikekalkan selama tiga tahun berturut-turut bagi tempoh 2024 hingga 2026, selain mengumumkan agihan keuntungan tertinggi dalam tempoh lapan tahun bagi tahun kewangan 2025.
Menurut TH, pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 adalah langkah strategik susulan kedudukan kewangan ketika itu yang memerlukan tindakan segera.
“Bagi tahun kewangan berakhir 2017, Ketua Audit Negara membangkitkan Emphasis of Matter (EoM) berkaitan amalan pengiktirafan rosot nilai aset tertentu yang tidak memberi gambaran sebenar mengenai kedudukan kewangan TH.
“Pada masa sama, Bank Negara Malaysia turut membangkitkan kebimbangan terhadap kedudukan aset TH yang lebih rendah berbanding liabiliti, sekali gus menunjukkan wujud jurang yang perlu ditangani segera bagi memastikan pematuhan kepada Akta Tabung Haji 1995,” katanya dalam kenyataan.
Menurut TH, keadaan itu bertambah serius pada 2018 apabila jurang antara aset dan liabiliti meningkat kepada kira-kira RM10 bilion sehingga berisiko menyebabkan TH tidak dapat mengisytiharkan agihan keuntungan sekiranya tiada tindakan diambil sebelum tamat tahun kewangan.
Katanya, kerajaan ketika itu tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan pelan penstrukturan semula bagi memastikan TH kembali berada dalam keadaan solven dengan nilai aset melebihi liabiliti.
Di bawah pelan berkenaan, aset tertentu yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), sekali gus membolehkan TH menstabilkan kedudukan kewangan dan terus mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit.
TH turut menjelaskan ia tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk membeli semula aset yang dipindahkan kepada UJSB, sebaliknya hanya memiliki hak keutamaan untuk menolak (Right of First Refusal) sekiranya aset berkenaan mahu dijual pada masa hadapan.
Pada tahun ini, TH mengambil alih semula dua aset daripada UJSB selepas pertimbangan komersial dibuat berdasarkan Alokasi Aset Strategik (SAA) dan kriteria pelaburan semasa.
Ia antara lain membabitkan tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang sebelum ini dijual kepada UJSB pada nilai premium RM400 juta pada 2018, sebelum dibeli semula pada harga RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa selepas kawasan itu berkembang pesat.
Selain itu, TH turut memperoleh semula UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd (UJEH), iaitu aset perladangan kelapa sawit yang dijual pada nilai premium RM800 juta pada 2018.
Pengambilalihan semula dibuat pada nilai perusahaan (Enterprise Value) RM695 juta selepas aset berkenaan menunjukkan pemulihan hasil dan aliran tunai yang stabil.
Bagaimanapun, TH memutuskan untuk tidak memperoleh semula beberapa aset lain yang ditawarkan kerana tidak memenuhi kriteria pelaburan dan berpotensi menjejaskan pulangan pelaburan serta kedudukan kewangan institusi itu.
Menurut TH, sejak 2018 pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi mengukuhkan lembaran imbangan, termasuk merasionalisasi portfolio pelaburan, memperkukuh tadbir urus dan pengurusan risiko, melaksanakan strategi pelaburan lebih berhemah serta meningkatkan kecekapan operasi.
“Pelan penstrukturan ini berjaya memulihkan kedudukan kewangan TH, membolehkan institusi kembali solven serta terus mengisytiharkan agihan keuntungan secara mampan.
“Kadar agihan keuntungan juga meningkat daripada 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 kepada 3.50 peratus pada tahun kewangan 2025, di samping TH terus mengurus simpanan lebih sembilan juta pendeposit dan mengekalkan perkhidmatan haji bertaraf dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




