Kegiatan 'solo' jurulatih renang edar dadah terbongkar

Kegiatan 'solo' jurulatih renang edar dadah terbongkar

am@hmetro.com.my

Jasin: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah bernilai RM6.8 juta membabitkan seorang jurulatih renang yang bergerak ‘solo’ di Plaza Tol Lipat Kajang, di sini, semalam.

Suspek lelaki, 27, ditahan 11.30 pagi ketika memandu dalam keadaan mencurigakan menerusi sekatan jalan raya (SJR) oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pemeriksaan ke atas kereta dipandu suspek dari Johor itu membawa kepada penemuan dadah jenis ketamin seberat 3.70 gram dan MDMA seberat 27.50 kilogram (kg) yang disorok dalam peket minuman kotak.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan susulan di sebuah kondominium di Crescent Bay Suites, Johor Bahru pada 4.50 pagi tadi yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dan makmal pembungkusan.

“Pemeriksaan di kediaman itu membongkar rampasan pelbagai jenis dadah merangkumi MDMA seberat 17.8 kg, ketamin cecair dan paket (29 gram), pil Erimin 5 (21.60 gram), serta pil ekstasi (32.2 gram),” katanya pada sidang media di IPD Jasin, hari ini.

Lee berkata, modus operandi suspek yang berasal dari Johor itu adalah membungkus sendiri dadah terbabit dalam peket jus minuman sebelum mengedarkan ke pusat-pusat hiburan pada harga RM300 hingga RM600 sepeket.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan dianggarkan berjumlah RM6.808 juta. Polis turut menyita pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti pembungkusan dadah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan dipercayai mula aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini.

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 21 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Usaha mengesan sisa rangkaian pengedaran dan sumber bekalan dadah berkenaan masih giat dijalankan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top