Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir besar di Istanbul

Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir besar di Istanbul

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat banjir di Istanbul, Turkiye, susulan hujan lebat luar biasa dan angin kencang sejak lewat malam kelmarin.

Konsul Malaysia di Istanbul, Mardhiah Sabri berkata, pihak konsulat memantau rapat keadaan itu bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di bandar berkenaan.

“Sehingga tengah hari waktu tempatan, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas secara serius. Konsulat juga terus berhubung rapat dengan wakil komuniti Malaysia dan persatuan pelajar bagi memastikan bantuan konsular dapat diberikan dengan segera sekiranya diperlukan.

“Nasihat keselamatan turut dikeluarkan menerusi saluran rasmi konsulat,” katanya kepada Buletin Utama TV3.

Beliau berkata, hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di Istanbul dinaiki air, sekali gus menjejaskan jalan raya dan kawasan perumahan.

Antara kawasan paling teruk terjejas ialah Beykoz, Sarıyer dan Eyüpsultan yang merekodkan jumlah hujan tertinggi, selain Esenyurt dan Kağıthane.

“Menurut Pusat Penyelarasan Bencana (AKOM) Perbandaran Metropolitan Istanbul, jumlah hujan di beberapa daerah melebihi 240 milimeter, manakala kelajuan angin diramalkan mencecah antara 50 hingga 80 kilometer sejam.

“Bagaimanapun, perkhidmatan pengangkutan awam menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila kebanyakan jalan yang ditutup dibuka semula, manakala perkhidmatan metro dan trem yang terjejas kembali beroperasi seperti biasa.

“Namun, beberapa laluan feri masih dibatalkan atau dilencongkan, manakala larangan sementara terhadap penggunaan motosikal di jalan raya bandar turut dikuatkuasakan,” katanya.

Mardhiah menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Istanbul, termasuk mereka yang merancang untuk berkunjung ke bandar itu, supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mengikuti nasihat keselamatan yang dikeluarkan menerusi saluran rasmi konsulat.

Mereka turut dinasihatkan supaya menjauhi kawasan banjir, laluan bawah tanah dan ruang bawah tanah bangunan, serta tidak cuba meredah jalan yang dinaiki air.

“Rakyat Malaysia yang dijadualkan berlepas ke Istanbul dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum bertolak ke lapangan terbang.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul akan terus memantau perkembangan semasa dengan kerjasama pihak berkuasa Turkiye serta menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top