am@hmetro.com.my
Arau: Kehadiran etnik Rohingya didakwa semakin bertambah di beberapa lokasi sekitar negeri ini sekaligus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk tempatan.
Tinjauan mendapati etnik berkenaan tidak tertumpu di satu lokasi, sebaliknya dikesan menetap secara berselerak di sekurang-kurangnya empat kawasan termasuk perkampungan di Tambun Tulang serta sekitar Simpang Empat.
Kebanyakan mereka dikesan bekerja sebagai buruh kasar dan mengambil upah dalam sektor pertanian, sekali gus menyaksikan jumlah etnik itu di beberapa kawasan dilihat semakin ramai sejak kebelakangan ini.
Seorang penduduk, yang mahu dikenali sebagai Ali Abu, 65, berkata, pihaknya bimbang dengan pertambahan etnik tersebut dari hari ke hari.
“Sepatutnya kerajaan perlu menghadkan kemasukan mereka.
“Sekarang ini, ada yang sudah berkahwin dengan rakyat kita dan menetap di sini, perkara ini perlu disekat segera,” katanya.
Katanya, keresahan penduduk memuncak apabila melihat etnik berkenaan berkumpul dalam jumlah yang agak besar, dianggarkan mencecah 300 orang ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, semua pihak tidak boleh bersikap leka mengenai isu kemasukan pelarian berkenaan walaupun keadaan masih terkawal.
“Di Perlis, sememangnya ada pelarian Rohingya namun masih terkawal.
“Masalah timbul apabila mereka mula beranak-pinak di sini, jadi masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menyokong kehadiran mereka,” katanya.
Beliau berkata, isu tersebut sudah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini bagi memohon perhatian serius daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Sepatutnya, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) perlu mempunyai data tepat bagi memudahkan proses pemantauan kemasukan pelarian ke Malaysia, khususnya di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, pelarian Rohingya, Mohamad Sadek Rashid Ahmad, 34, mengakui sudah menetap di negara ini sejak 2012 selepas masuk melalui jalan laut dari sempadan Thailand.
Dia yang bekerja sebagai buruh binaan dan menetap di Perlis sejak 2013 berkata, dia mempunyai kad UNHCR serta sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita etnik sama pada 2022.
“Saya berterima kasih kepada rakyat dan kerajaan Malaysia kerana memberi peluang mencari rezeki di sini.
“Namun saya bersedia untuk berpindah jika diarahkan ke negara ketiga,” katanya.
Setakat April lalu, media melaporkan terdapat 128,200 pelarian etnik tersebut yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia daripada keseluruhan 219,472 pemegang kad UNHCR di negara ini.
Bagaimanapun, jumlah sebenar pelarian Rohingya di Malaysia dijangka jauh lebih tinggi memandangkan masih ramai yang tidak mendaftarkan diri dengan agensi tersebut.
Isu kebanjiran pelarian tanpa dokumen sah ini terus menjadi polemik nasional yang memerlukan tindakan bersepadu pihak kerajaan bagi memastikan kedaulatan negara serta keselamatan penduduk tempatan terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




