bhnews@bh.com.my
JOHOR BAHRU: Kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendapat sambutan menggalakkan orang ramai pada kempen Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor, menimbulkan rasa kurang senang calon pembangkang.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Liew Chin Tong, seolah-olah tidak berpuas hati dengan sambutan diterima Najib.
Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, kehadiran Najib seperti menenggelamkan penampilan Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai calon menteri besar Barisan Nasional (BN).
Katanya, sambutan diterima Najib juga seolah-olah beliau bertanding di Johor.
“Saya tiada masalah dengan perkara itu, saya mengalu-alukan kedatangannya berkempen bagi pihak BN untuk PRN Johor.
“Lebih baik dia datang setiap hari untuk berkempen,” katanya seperti mempersenda kehadiran Najib.
Chin Tong juga menyelar kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan dia hanya berpeluang tipis untuk menang apabila pengundi di kawasan berkenaan dilihat menolaknya atas faktor calon pengembara.
“Mereka memilih saya bertanding di sini kerana percaya saya mampu menjalankan tugas dan memainkan peranan sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak bertanding di kerusi selamat kerana kami mahu membuka medan politik baharu (untuk DAP dan PH),” katanya pada sidang media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Chin Tong dikatakan seolah-olah tidak menyenangi kehadiran Najib untuk berkempen di negeri ini.
Najib pada Ahad lalu ke Perling untuk membantu kempen calon BN, Tan Hiang Kee yang juga pesaing kepada Chin Tong.
Malah ketika mengunjungi medan selera di Taman Bukit Indah, kebanyakan pengunjung berbangsa Tionghua mengerumuni Najib dan Hiang Kee, selain menunjukkan kehadiran mereka untuk berkempen disambut baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




