Kehilangan ulama tertua P.Pinang beri kesan kepada Yayasan Kolsum Bivi

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

GEORGE TOWN – Kehilangan ulama tersohor dan tertua di Pulau Pinang, Datuk Syeikh Maulana Abdullah Abdul Rahman Al Bukhari Al Masyuri pada Ahad lalu secara tidak langsung memberi kesan kepada Yayasan Kolsum Bivi.

Pengerusinya, Datuk Bahurdin Abdul Kader berkata, Allahyarham terlibat sama dalam menyampaikan sumbangan daripada yayasan kepada golongan yang memerlukan di Pulau Pinang.

“Saya mengenali Allahyarham lebih 30 tahun dan beliau banyak memberi nasihat kepada saya serta ahli lembaga untuk mengadakan program kebajikan serta terlibat sama dalam majlis ilmiah anjuran yayasan di beberapa masjid sekitar negeri ini.

Allahyarham banyak beri nasihat dan terlibat sama dalam majlis ilmiah anjuran Yayasan Kolsum Bivi di Pulau Pinang.

“Kehilangan Allahyarham memang memberi impak besar kepada Yayasan Kolsum Bivi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Allahyarham yang merupakan bekas imam di Masjid Kapitan Keling sejak tahun 1972 sehingga 31 Disember 2018 itu dilaporkan meninggal dunia pada usia 88 tahun di kediamannya di Jalan Brani, di sini.

Pemergian Allahyarham mendapat perhatian dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kehilangannya sebagai khabar duka dari bumi Pulau Mutiara itu.

Allahyarham Abdullah Abdul Rahman yang dilahirkan pada 29 Jun 1933 di Jalan Brani, Pulau Pinang lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Abdullah Bukhari kerana menjadi rujukan dalam hadis al-Bukhari.

Beliau memulakan pendidikan awalnya di Madrasah al-Mashoor al-Islami dengan kelulusan 4 Thanawi dan pengkhususan Qismun Takhasasin dan Qismun Muallimun pada tahun 1952.

Allahyarham memperoleh kelulusan Tahfizul Qurani dari Jamia Misbahul Hudha, Nidur, India pada tahun 1953 selain memperoleh kelulusan Kelas Alim Maurlaui, Nidur, India pada tahun 1958.

Sepanjang hayatnya, Syeikh Abdullah Bukhari pernah mengajar ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir dan Hadits di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang pada tahun 1958 sehingga 1979.