Kejadian berulang air sungai membiru di Gerik, kerajaan negeri tunggu laporan

Kejadian berulang air sungai membiru di Gerik, kerajaan negeri tunggu laporan

am@hmetro.com.my

Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan Perak masih menunggu hasil laporan daripada jabatan berkaitan sebelum dapat menentukan sebarang tindakan susulan daripada kejadian aliran Sungai Perak di Kampung Bukit Amarikan, Gerik yang kembali bertukar kebiruan semalam selepas insiden sama dilaporkan Oktober tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, susulan kejadian itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah ke lokasi bagi menganalisa dan mengambil sampel air untuk memastikan sama ada hidupan air selamat dimakan atau tidak.

“Semalam JMG bersama JAS sudah turun untuk buat kajian dan ambil sampel air sebab berlaku kematian ikan. Kematian ikan itu perlu dikaji sama ada disebabkan keracunan atau tidak boleh bernafas memandangkan air sungai dipenuhi lumpur atau habuk yang menyebabkan bahagian insang tersumbat.

“Saya sudah menghubungi Pegawai Daerah serta JMG, dan secara teknikal hanya JMG sahaja yang berautoriti untuk memberi komen berkaitan kandungan air sungai itu,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Astana Chemor Fasa 1 di Chemor, di sini hari ini.

Saarani berkata, kejadian serupa pernah berlaku sekitar 2019 dengan dikaitkan dengan bahan mineral yang banyak terdapat di kawasan daerah Hulu Perak khususnya ketika hujan.

Menurutnya, tindakan serupa seperti ketika kejadian air Sungai Perak di Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar warna kebiruan pada Oktober 2025 akan diambil namun bergantung kepada hasil laporan daripada pihak JMG dan JAS.

“Sudah tentu sebab ia berlaku secara berulang. Seperti yang berlaku pada 2025, selepas beberapa tempoh, air itu tidak lagi menjadi biru, dan kali ini ia menjadi biru balik.

“Jadi mereka akan buat semula kajian, warna biru itu datang dari mana,” katanya.

Semalam, NSTP melaporkan aliran air Sungai Perak di Kampung Bukit Amarikan bertukar kebiruan disyaki kembali tercemar, sekali gus mengulangi kejadian tular membabitkan aliran air Sungai Perak dekat Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik pada Oktober 2025.

Insiden di Jambatan Kampung Sungai Papan disahkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sebagai dipengaruhi kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu yang mungkin berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Susulan pendedahan itu, kerajaan negeri mengarahkan tiga syarikat perlombongan di daerah Hulu Perak menghentikan sementara operasi namun dibenarkan beroperasi semula pada 13 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top