Ankara: Kementerian Kesihatan Turkiye mengenakan denda terhadap lebih 100 pakar perbidanan dan sakit puan kerana menjalankan pembedahan caesarean selain menggantung tugas mereka serta mewajibkan latihan semula, lapor akhbar BirGun pada 11 Julai.
Turkiye mencatatkan kadar kelahiran caesarean tertinggi dalam kalangan 38 negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), berdasarkan data terkini bagi 2023 dengan kira-kira 615 prosedur berkenaan bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun itu.
Menurut profesional perubatan kepada AFP, pembedahan caesarean lebih menjimatkan masa bagi kakitangan perubatan iaitu sekitar 30 minit berbanding proses kelahiran normal yang mengambil masa sehingga 12 jam, selain prosedur itu dikatakan mampu mengurangkan risiko tindakan undang-undang berkaitan komplikasi sekali gus memberi perlindungan kepada doktor dan wanita terbabit.
Pada 2025, kerajaan Turkiye melancarkan kempen menangani penurunan kadar kelahiran menerusi inisiatif “Dekad Keluarga” yang diperkenalkan Presiden Recep Tayyip Erdogan termasuk usaha meningkatkan kawalan terhadap kaedah kelahiran wanita.
Erdogan, seorang pemimpin beragama Islam yang lantang menyokong kelahiran semula jadi, mahu mengurangkan jumlah pembedahan caesarean pilihan yang mencatatkan peningkatan di Turkiye. Kerajaannya pada April 2025 turut melarang prosedur berkenaan di fasiliti penjagaan kesihatan swasta jika tiada justifikasi perubatan.
Menurut BirGun, lebih 100 doktor dikenakan denda kerana menjalankan pembedahan caesarean, berdasarkan angka yang diperoleh daripada persatuan perubatan di seluruh negara. Tindakan itu mencetuskan kritikan hebat dalam kalangan profesional penjagaan kesihatan yang mempersoalkan dasar berkenaan.
Menerusi laman web rasminya, Dewan Perubatan Antalya memaklumkan pakar perbidanan “menerima amaran, dikenakan siasatan disiplin, digantung tugas sementara daripada menjalankan amalan serta diwajibkan menghadiri kursus latihan antenatal (sebelum bersalin) berikutan kadar pembedahan caesarean yang tinggi di seluruh negara”.
Laman web berita Diken pula melaporkan kes seorang pakar perbidanan yang bekerja di sebuah hospital swasta di Sakarya berhampiran Istanbul, dipecat atas arahan Kementerian Kesihatan berikutan kadar pembedahan caesarean yang tinggi. Doktor terbabit kemudian digantung tugas selama enam bulan.
Sepanjang tempoh penggantungan itu, doktor berkenaan perlu menjalani latihan di hospital kerajaan sebelum menduduki peperiksaan. Hanya selepas lulus peperiksaan itu, beliau dibenarkan kembali menjalankan amalan perubatan, menurut laporan berkenaan.
Pegawai kanan Persatuan Perubatan Turkiye (TTB), Dr Ayse Gultekingil memberitahu BirGun bahawa tindakan menghukum doktor tidak akan menyelesaikan isu kadar pembedahan caesarean tinggi di Turkiye, yang disifatkannya sebagai masalah “berstruktur”.
“Kadar kelahiran caesarean di Turkiye melebihi 60 peratus. Namun, kaedah kelahiran mencerminkan pelbagai masalah dalam sistem penjagaan kesihatan negara ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




