Selangor tutup sekolah jika bacaan IPU lebih 200 – EXCO

Shah Alam: Selangor akan melaksanakan penutupan sekolah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 mengikut ketetapan pihak berkuasa.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata Jabatan Pendidikan Selangor akan terus memantau bacaan IPU di lokasi sekolah dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan tahap pencemaran serta arahan ditetapkan.

“Bagi sektor pendidikan, sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak hendaklah mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa berdasarkan bacaan IPU.

“Sekiranya bacaan IPU mencecah melebihi 200, penutupan sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak akan dilaksanakan mengikut ketetapan pihak berkuasa.

“Pihak sekolah juga diminta memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa menjadi keutamaan sepanjang tempoh jerebu,” ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata, Selangor terus memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi susulan peningkatan semula bacaan IPU di beberapa kawasan di negeri ini sejak pagi tadi.

Katanya, setakat jam 11 pagi, enam kawasan merekodkan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Johan Setia (180), Shah Alam (168), Klang (155), Petaling Jaya (157), Banting (155) dan Kuala Selangor (155).

“Pembakaran terbuka adalah dilarang. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Orang ramai diminta memainkan peranan dengan segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar melalui Hotline JAS 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.

“Bagi kejadian kebakaran yang memerlukan tindakan segera, orang ramai boleh menghubungi 999 atau talian 1-800-88-994 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Jamaliah berkata, aspek kesihatan awam kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam situasi IPU tidak sihat.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor bersedia menyerahkan bekalan pelitup muka kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk diedarkan kepada penjawat awam dan orang ramai.

“Pengedaran akan memberi keutamaan kepada kawasan yang merekodkan bacaan IPU tertinggi di Selangor, khususnya kepada golongan

memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top