Dua aktivis Malaysia, Ardell Aryana dan Haikal Abdullah, yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF), dilaporkan antara individu yang diperlakukan dengan kekerasan oleh rejim Zionis ketika mereka ditahan baru-baru ini.
Menurut Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Fahmi Abd Moin, Ardell kini dirawat di sebuah hospital di Istanbul selepas mengalami tekanan darah rendah akibat insiden pemintasan tersebut.
“Ardell memaklumkan beliau mengalami tekanan darah rendah selepas insiden pemintasan. Ketika ditahan, rambutnya ditarik dan beliau turut ditumbuk di bahagian muka.
“Mungkin disebabkan itu keadaannya agak lemah dengan tekanan darah rendah. Haikal pula mendakwa beliau dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan sehingga menjejaskan beberapa jarinya. Beliau kini memerlukan rawatan lanjut,” katanya ketika di temu bual ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambahnya, Haikal turut mengalami kecederaan selepas mendakwa dirinya dipijak oleh tentera rejim Zionis di bahagian tangan, sehingga menjejaskan beberapa jarinya dan kini memerlukan rawatan lanjut.
Manakala, beberapa lagi aktivis Malaysia turut menerima nasib sama antaranya, PU Rahmat, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi.
Bagaimanapun, Fahmi memaklumkan bahawa kesemua aktivis lain berada dalam keadaan stabil dan sihat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik tiba di Turkiye, pada Sabtu.
Fail aduan pada Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, segala kronologi dan bukti berkaitan penyeksaan serta layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan dengan teliti.
Jika hasil siasatan mendapati bukti mencukupi, CENTHRA bercadang memfailkan aduan rasmi kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) sebagai langkah memberi tekanan terhadap Israel.
Keterangan itu termasuk pengalaman mereka di atas kapal, ketika ditahan, sehinggalah dikeluarkan daripada Penjara Ketziot.
“Kronologi berkaitan penyeksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan akan didokumentasikan. Jika bukti mencukupi, kami bercadang memfailkan aduan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) bagi memberi tekanan kepada Israel.
“Sekiranya tekanan antarabangsa berjaya diwujudkan, tindakan lanjut termasuk siasatan dan pendakwaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) boleh diambil,”jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Selepas 3 Hari Ditahan, Peminat Lega Lihat Perkongsian Zizi Kirana Di Instagram Stories
ARTIKEL BERKAITAN:Selepas 3 Hari Ditahan, Peminat Lega Lihat Perkongsian Zizi Kirana Di Instagram Stories




