Kejap ada, kejap tak ada, cetus tanda tanya

Kejap ada, kejap tak ada, cetus tanda tanya

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Status penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Malaysia yang terus menjadi tanda tanya mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan pemerhati dan pemain tempatan.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) itu kali terakhir berlangsung pada 2024 menerusi edisi Terbuka Malaysia IRS Prima sebelum kembali sepi tahun lalu dan sehingga kini belum ada pengumuman rasmi mengenai penganjurannya bagi musim 2026.

Keadaan itu menimbulkan persoalan terutama dalam kalangan pemain lelaki negara yang kini ketandusan pentas berprestij di laman sendiri.

Jika dibuat perbandingan, pemain wanita tempatan sekurang-kurangnya masih memiliki kejohanan bertaraf antarabangsa menerusi Kejohanan Maybank yang dianjurkan oleh Jelajah LPGA sejak 2023 dengan tawaran hadiah lumayan serta kehadiran pemain elit dunia.

Namun bagi pemain lelaki, Terbuka Malaysia yang sekian lama menjadi pentas utama kini tidak lagi dianjurkan secara konsisten.

Menurut sumber, ramai kecewa dengan penganjuran Terbuka Malaysia yang disifatkan tidak konsisten.

“Kejap ada, kejap tak ada. Jika ada pun macam melepaskan batuk di tangga. Pendek kata penganjuran Terbuka Malaysia sudah tidak konsisten.

“Dalam keadaan ekonomi tak berapa bagus, MGA masih berpegang kepada jika hendak anjurkan Terbuka Malaysia, ia perlu menawarkan hadiah wang tunai yang terbesar di Asia Tenggara iaitu AS$1 juta.

“Kejohanan ini mahu dilihat setaraf seperti Terbuka Singapura sebagai contohnya yang mana mereka ditaja oleh HSBC. Bank-bank tempatan kita tidak mampu untuk menjadi penganjur kepada kejohanan dengan tawaran hadiah sebesar itu.

“Ada cadangan supaya hadiah wang kemenangan diturunkan kepada mungkin AS$500,000, tetapi ia tidak dipersetujui oleh MGA,” katanya.

Terbuka Malaysia mula diperkenalkan pada 1962 sebagai Terbuka Malaya dan sejak itu tidak pernah gagal dianjurkan sehingga 2015. Selepas itu, ia terhenti selama empat tahun sebelum kembali dipertandingkan pada 2020.

Sepanjang sejarahnya, kejohanan itu pernah menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia seperti Vijay Singh dan Lee Westwood muncul juara sebanyak dua kali.

Kali terakhir ia dianjurkan pada 2024, namun selepas itu kembali sepi.

Usaha mendapatkan komen PGM bagi mendapatkan penjelasan lanjut gagal apabila tidak dapat dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top