Kekal prinsip tiada pengumuman, tunggu selamat melahirkan nanti – Neelofa

PETALING JAYA : Selebriti dan usahawan popular, Noor Neelofa, 37, kekal dengan pendirian untuk tidak mengumumkan kehamilannya secara rasmi meskipun menyedari perubahan fizikalnya mula menjadi perhatian ramai.

Neelofa berkata, dia tidak pernah menjadikan pengumuman kehamilan sebagai sesuatu yang perlu dilakukan dan memilih untuk berkongsi berita tersebut hanya selepas selamat melahirkan anak.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selain menyerahkan segala urusan sepanjang tempoh kehamilan kepada Allah SWT.

“Bukan spekulasi, mungkin dah ramai yang dapat agak dan dah nampak. Saya tak pernah buat pengumuman pun untuk mana-mana anak sebelum ini.

“Nanti apabila melahirkan barulah kami umumkan. Itu yang terbaik sebab selagi anak belum dilahirkan, apa-apa saja boleh terjadi,”katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Susu Pisang Nilofa di The Curve, di sini, hari ini.

Neelofa turut meminta orang ramai supaya mendoakan agar perjalanan kehamilannya dipermudahkan, selain dikurniakan kesihatan dan keselamatan sehingga proses kelahiran.

“Yang terbaik, doakan sajalah. Doa supaya sepanjang perjalanan ini dipermudahkan, sihat dan melahirkan. Selepas itu, fasa seterusnya pun dipermudahkan. Macam itu sajalah.

“Pastinya kalau tiba masa untuk umum, saya akan buat. Buat masa ini, saya pegang prinsip itu kerana bagi saya lebih baik kita berhati-hati dan menyerahkan semuanya kepada Allah,” katanya.

Mengulas mengenai jantina bayi yang turut menjadi teka-teki dalam kalangan peminat, Neelofa berkata perkara tersebut juga menjadi hal peribadi yang hanya diketahui keluarga terdekat.

“Itu lagilah saya tak kongsi. Saya buat perkara itu secara peribadi bersama keluarga Haris, adik-beradik dia serta keluarga saya dan adik-beradik saya saja. Malah sepupu kami pun tak tahu.

“Saya rasa tidak perlu semua perkara dikongsikan dengan orang ramai. Cukuplah keluarga terdekat mengetahui dan selebihnya kita serahkan kepada Allah,” katanya.

Neelofa berkahwin dengan penceramah bebas Haris Ismail pada 27 Mac 2021.

Hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Bilal,4, dan Abdullah Abbas,3.

Scroll to Top