Kekal tema sama

Kekal tema sama

Mengekal tema mengenai wanita yang dipasung, filem Menjelang Magrib 2 : Wanita Yang Dirantai dijangka terus mencuri tumpuan peminat genre seram.

Sebelum ini, naskhah Menjelang Magrib yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2022 turut mendapat sambutan baik di Indonesia dan Malaysia.

Penerbit merangkap pengarahnya, Helfi Kardit berkata, untuk filem yang kedua pihaknya masih mengangkat tema cerita mengenai wanita yang dipasung.

Katanya, sekalipun filem ini akan dihasilkan dalam beberapa siri lagi, ia akan masih kekal dengan tema yang sama.

“Tema ini menjadi pilihan kerana ia cukup dekat dengan pengalaman peribadi semasa tinggal di sebuah daerah di Sumatera, di mana saya sendiri melihat seseorang yang dipasung di sebuah rumah khas untuk menjalani rawatan,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem tersebut, Helfi menjelaskan ia bukanlah sambungan filem terdahulu, sebaliknya ia sebuah kisah ‘spin-off’.

Tambahnya, apa yang dipaparkan bukan setakat seram semata-mata, malah ia mengangkat isu budaya, unsur mistik dan tahayul yang bertentangan dengan pengetahuan moden, sains serta fenomena mistik.

“Filem ini mengetengahkan jalan cerita yang lebih ‘dark’ (gelap) dan menyeramkan serta diselitkan dengan elemen budaya dan ketidakseimbangan kehidupan masyarakat yang berlaku ketika zaman penjajah.

“Menariknya latar filem ini juga adalah sekitar tahun 1920 ketika Indonesia masih lagi di bawah penjajahan Belanda atau dikenali sebagai Hindia Belanda,” katanya.

Helfi berkata, filem itu sudah pun ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu dan menerima maklum balas positif serta mencatat jumlah penonton tinggi.

“Semasa Menjelang Maghrib ditayangkan di Malaysia tiga tahun lalu, ia mendapat sambutan hangat daripada penggemar filem seram dengan kutipan hampir mencecah RM2 juta.

“Jadi, sudah tentu saya meletakkan harapan agar filem yang kedua ini juga akan akan ditonton ramai warga Malaysia seperti yang pertama,” katanya.

Filem terbitan Helroad Films ini menampilkan barisan pelakon popular Indonesia antaranya Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan, Aurelia Lourdes dan ramai lagi.

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai berkisar mengenai amalan pasung yang masih menjadi kepercayaan turun-temurun sebagai kaedah rawatan untuk mengubati masalah gangguan mental.

Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh tanah air mulai 20 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top