Kekurangan cip dari Malaysia jejas operasi Ford

Kekurangan cip dari Malaysia jejas operasi Ford

bhbiz@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kekurangan bekalan cip semikonduktor dari Malaysia susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19, menjejaskan pengeluaran kenderaan syarikat automotif utama dunia termasuk Ford Motor Co.

Minggu lalu, pengeluar automotif terkemuka dunia itu berkata, ia terpaksa menghentikan sementara pengeluaran trak pikap popularnya, F-150 di salah satu kilang pengeluarannya di Amerika Syarikat (AS), demikian menurut laporan Bloomberg.

Dalam laporan itu, pengeluar kereta itu berkata, pihaknya terpaksa berbuat demikian berikutan kekurangan bahagian yang berkaitan dengan semikonduktor akibat pandemik COVID-19 di Malaysia.

Peningkatan pantas kes jangkitan COVID-19 di rantau ini termasuk Malaysia telah memburukkan situasi kekurangan bekalan semikonduktor dan komponen lain di peringkat global, yang menjejaskan pengeluar kereta beberapa bulan lalu.

Malaysia kini adalah antara pusat utama ujian dan pembungkusan cip di rantau ini, dengan Infineon Technologies AG, NXP Semiconductors NV dan STMicroelectronics NV adalah antara pembekal utama yang mengendalikan kilang di negara ini.

Minggu lalu, IHS Markit dalam laporannya berkata, kekurangan bekalan semikonduktor global, termasuk cip dari Malaysia akan mengurangkan pengeluaran kenderaan di seluruh dunia sehingga 7.1 juta unit tahun ini.

Firma penyelidikan itu menjangkakan kekurangan cip tidak akan stabil sehingga suku kedua tahun depan dengan pemulihan dijangka berlaku pada separuh kedua.

Ia berkata, kadar vaksinasi rendah dan peningkatan kadar jangkitan di Asia Tenggara mendorong penutupan kilang yang mengumpulkan semua jenis semikonduktor.

“Situasi ini masih penuh dengan cabaran. Kami juga melihat turun naik tidak menentu baharu berikutan langkah sekatan dan kawalan pergerakan COVID-19 di Malaysia di mana banyak operasi pembungkusan cip serta operasi ujian dilakukan,” kata IHS.

Berdasarkan kaji selidik oleh Susquehanna Financial Group, tempoh menunggu mendapatkan bekalan semikonduktor dari tempahan sehingga penghantaran meningkat lebih lapan hari kepada 20.2 minggu pada Julai berbanding bulan sebelum itu.

Tempoh menunggu itu adalah yang paling lama sejak firma itu menjejaki data berkenaan pada 2017.

Toyota Motor Corp pada minggu lalu turut dilapor akan menghentikan pengeluaran di 14 kilangnya berikutan pembekal, terutama di Asia Tenggara terkesan oleh gelombang terkini jangkitan COVID-19 susulan pelaksanaan semula langkah sekatan dan kawalan pergerakan yang lebih ketat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top