Kelab gagal bayar gaji wajar disingkir dari Liga M

Kelab gagal bayar gaji wajar disingkir dari Liga M

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelab yang terus dibelenggu masalah tunggakan gaji wajar disekat daripada bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana kegagalan mengurus kewangan dengan baik tidak boleh lagi di kompromi.

Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu lebih tegas dalam melaksana Financial Fair Play (FFP) dan tidak lagi sekadar memberi amaran saban musim tanpa tindakan lebih keras.

Menurutnya, kegagalan mengambil tindakan terhadap pasukan bermasalah kewangan akan memberi gambaran seolah-olah isu pengurusan lemah boleh dilepaskan begitu saja tanpa hukuman setimpal.

“Dalam bola sepak profesional, soal gaji bukan perkara kecil kerana ia membabitkan hak pemain dan pegawai yang bekerja secara profesional, bukannya ihsan daripada majikan.

“Jika pasukan terus dibenarkan bertanding walaupun berdepan masalah sama setiap tahun, ia akan mewujudkan budaya pengurusan tidak sihat dan seolah-olah tiada pengajaran diambil.

“Kelab yang berbelanja melebihi kemampuan akhirnya akan memakan diri sendiri, sedangkan pasukan yang mengurus kewangan dengan baik pula akan rasa teraniaya kerana layanan diberikan tetap sama,” katanya.

Beliau turut berpandangan isu tunggakan gaji yang terus berulang bukan saja memberi kesan kepada pemain, malah mencalar reputasi Liga M di mata penaja dan pelabur luar.

Katanya, penaja pasti sukar meletakkan keyakinan terhadap liga yang sering dikaitkan dengan masalah kewangan dan ketidakstabilan pengurusan, termasuk membabitkan pembayaran gaji.

Dalam masa sama, Muzakkir yang juga bekas CEO pasukan Kelantan mengakui lesen bersyarat masih boleh dipertimbangkan terhadap mana-mana kelab sekiranya mereka mempunyai pelan pemulihan jelas serta bukti kewangan yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau menegaskan MFL perlu berani menolak permohonan lesen sekiranya masalah sama terus berulang tanpa sebarang perubahan ketara.

“Liga yang kuat bukan bergantung kepada jumlah pasukan semata-mata, tetapi kestabilan kewangan dan tahap profesionalisme setiap kelab.

“Kita tidak mahu kualiti Liga Super terus dipersoalkan sehingga berlaku jurang terlalu besar seperti ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Kelantan The Real Warriors (TRW) 14-1 sebelum ini.

“Itu memberi gambaran tidak sihat terhadap standard liga profesional dan MFL perlu melihat perkara ini secara serius.

“Malah, syarat kemasukan pasukan dari Liga A1 Semi-Pro ke Liga Super juga perlu diperketatkan, terutama membabitkan aspek kewangan serta perancangan jangka panjang mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top