Kelantan FC gagal ke suku akhir

Kota Bharu: Kebangkitan yang dijelmakan dalam babak kedua ternyata masih belum cukup buat Kelantan FC apabila terpaksa akur tunduk 2-3 kepada UiTM FC pada perlawanan pusingan pertama TM Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah terpaksa mengucapkan selamat tinggal setelah tersingkir pada aksi kalah mati pertandingan piala paling berprestij itu.
UiTM FC yang turun selaku tuan rumah pada perlawanan itu terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-13 menerusi Muhamad Arif Muhamed Anwar.
Anak buah Frank Bernhardt terus mengejutkan kelab milik pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukiman apabila Muhd Rafie Mat Yaacob meledak gol kedua, selang empat minit kemudian.

Penyerang muda Kelantan FC, Mohd Danial Ashraf Abdullah kembali membakar semangat rakan sepasukannya apabila merapatkan defisit jaringan, pada minit ke-61.
Dua minit kemudian kem Kelantan FC terus ceria apabila Mohd Danial Ashraf sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadinya untuk mengikat kedudukan semasa 2-2.
Meskipun bangkit menerusi dua gol pantas itu namun skuad julukan The Red Warriors gagal bertahan sebaliknya membenarkan The Lion Troops itu menambahkan gol ketiga mereka tidak lama kemudian.

Muhamad Arif, bekas penyerang Kuala Lumpur musim lalu memastikan slot ke suku akhir menjadi milik mereka apabila menjaringkan gol kemenangan, pada minit ke-67.
Kemenangan itu membolehkan UiTM FC mara ke kelompok lapan pasukan terbaik untuk bertemu juara Liga Premier, Pulau Pinang di peringkat suku akhir, selepas ini.

Malay News
Sports Desk