Kelantan harap Kerajaan Persekutuan agih wang ihsan lebih banyak tahun ini

Kelantan harap Kerajaan Persekutuan agih wang ihsan lebih banyak tahun ini

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan kepada negeri itu dengan jumlah lebih banyak berbanding tahun lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, tahun lalu, Kelantan mendapat wang ihsan sebanyak RM218 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan pada April dan hujung Disember.

Katanya, diharapkan pembayaran wang ihsan daripada Kerajaan Persekutuan tahun ini juga dibuat pada April depan.

“Tahun lalu, kita dapat RM218 juta wang ihsan dan tahun ini belum dapat lagi kerana ini baru Mac. Kalau ikut tahun lalu (Kelantan) dapat April dan hujung Disember.

“Kita harap dia (Kerajaan Persekutuan) bayar banyak lagi tahun ini sempena berkat Ramadan dan bayaran terpulang pada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan Media Bersama kepimpinan di sini, malam tadi.

Pada perkembangan sama, Mohd Nassuruddin berharap Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan secara saksama seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan harapan supaya perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada semua bandar di 13 negeri di seluruh Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd