Kelantan lulus RUU enakmen kawalan dan tempat hiburan

Kelantan lulus RUU enakmen kawalan dan tempat hiburan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2024 bagi menggantikan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.

Enakmen baharu itu dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah dan dibahaskan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), disusuli penggulungan oleh Hilmi dan Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Ia kemudian dibaca buat kali kedua dan ketiga, seterusnya diluluskan sebulat suara di hadapan Timbalan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohamed Fared Mohamed Zawawi hari ini.

Hilmi berkata, enakmen baharu digubal mengambil kira perubahan masa, memastikan tiada lagi kelompangan undang-undang dan menjamin pelaksanaan yang efektif, malah nilai Islam dalam hiburan tidak ditinggalkan sejajar dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Katanya, enakmen terdahulu yang diluluskan pada 1998, menggantikan Ordinan Panggung Wayang dan Tempat-tempat Hiburan 1955 dan berkuat kuasa 15 Jun 1999, tidak pernah mengalami sebarang pindaan atau penambahbaikan.

“Memandangkan sudah 26 tahun berlalu dengan tiada sebarang pindaan seiring yang perubahan semasa, (maka) terdapat banyak kelompangan yang menimbulkan kesulitan dari segi pelaksanaannya,” katanya.

Sehubungan itu, penggubalan enakmen baharu selari dengan hasrat pihak berkuasa negeri untuk menukar pegawai pelesen hiburan daripada ketua jajahan kepada Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Hilmi berkata, enakmen baharu juga mempunyai enam bahagian yang mengandungi 48 seksyen dan satu jadual.

“Amat penting untuk kerajaan negeri menggubal dan menguatkuasakan satu undang-undang negeri yang berteraskan syariah Islam, khusus bagi mengawal pelesenan hiburan dan tempat-tempat hiburan dan perkara yang berkaitan dengannya.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab dalam melestarikan warisan seni dan budaya masyarakat tempatan supaya tidak lapuk ditelan zaman serta perlu mengambil kira kelangsungan hidup penggiat industri seni tempatan, dengan memastikan aktiviti hiburan berlandaskan Islam boleh dijalankan di Kelantan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top