am@hmetro.com.my
Kuantan: Dua lelaki termasuk warga emas maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 3 Jalan Pekan-Kuantan dekat Pekan, hari ini.
Mangsa adalah Azuwan Zainal Abidin, 35, dari Sepekan Jaya, Pekan dan Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah, 71, dari Taman Sri Maulana, Pekan.
Kedua-duanya meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Pekan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan dilapor berlaku pada 11.05 pagi, membabitkan pacuan empat roda (4×4), kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).
Katanya, siasatan awal mendapati 4×4 dipandu Azuwan dari arah Pekan menghala ke Kuantan, manakala kereta dipandu Raja Mustafa dan MPV dipandu lelaki berusia 26 tahun pula dari arah bertentangan.
“Kenderaan dipandu Azuwan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta dipandu Raja Mustafa dan kerana jarak dekat, pemandu MPV turut gagal mengelak dan melanggar belakang kereta mangsa.
“Akibat kemalangan itu, Azuwan dan Raja Mustafa meninggal dunia, manakala pemandu MPV tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd
