Kelantan United berwajah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kota Bharu: Kelantan United FC bakal tampil dengan wajah baharu untuk mengharungi musim kedua mereka dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.
Menjelaskan perkara itu, Presiden Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, hampir kesemua pemain musim lalu tidak ditawarkan kontrak lanjutan dengan hanya sebilangan kecil dikekalkan oleh pihak pengurusan.

Menurutnya, persiapan membentuk pasukan kini berada pada fasa terakhir bagi memastikan mereka benar-benar dapat bersaing secara kompetitif musim depan.
Pada dasarnya semua pemain musim lalu kita telah lepaskan, pasukan yang musim 2021 ini secara keseluruhannya adalah pasukan baharu namun begitu tidak bermakna kita tak ambil pemain lama.

“Mana-mana pemain yang beri komitmen tinggi dan menunjukkan prestasi baik di dalam atau di luar padang, Insya ALLAH kita akan ambil semula tapi sebagai pemain yang diberi kontrak baharu,” katanya kepada pemberita semalam.

Jelas beliau lagi, musim depan skuad The Green Deers akan dibimbing jurulatih baharu dan pihak pengurusan kelab hampir memuktamadkan perkara tersebut.
“Kita sudah putuskan, tinggal lagi untuk isytiharkan (nama) jurulatih itu. Insya ALLAH bila kita umum nanti, jurulatih ini akan memberi satu gelombang atau kegembiraan baru kepada peminat Kelantan United.

“Kita masih belum ada tarikh tapi akan cari masa sesuai untuk umumkan sebab kita sudah hampir ke peringkat akhir untuk putuskan (pasukan) cuma suasana (penularan) Covid-19 ini semakin ketat, jadi perancangan agak tergendala sikit,” katanya.
Disebalik pembaharuan yang dirancang oleh kelabnya, Che Abdullah bagaimanapun menegaskan mereka tetap mengamalkan perbelanjaan berhemah mengambil kira bajet ditetapkan pihak penurusan.

“Daripada segi perbelanjaan dan sebagainya, kita cuba cara paling berhemah kerana sedar suasana kejohanan itu nanti mungkin tidak semeriah seperti tahun-tahun sebelum itu,” ujarnya.
Pada masa sama, Che Abdullah berharap saingan Liga-M dapat dilangsungkan seperti biasa walaupun dalam keadaan norma baharu.
Suasana yang sangat tidak menentu dalam sukan bola sepak negara namun kita harap penganjuran liga diteruskan.
Sebagai sebuah pasukan yang beraksi dalam Liga Premier, macam mana keadaan sekalipun Kelantan United perlu bersedia dan untuk itu persiapan telah dilakukan untuk memastikan kita benar-benar dapat bersaing pada musim depan,” tambahnya lagi.

Malay News
sports Desk