Kelantan WTS FC terima suntikan RM100,000

Kelantan WTS FC terima suntikan RM100,000

sukan@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Kelantan WTS FC memulakan saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26 dengan langkah kanan apabila menerima suntikan dana RM100,000.

Dana diterima daripada syarikat pengeluar pakaian dan peralatan sukan jenama tempatan iaitu PUC Sport dalam majlis malam ini.

Presiden WTS FC, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah berkata, tajaan memberikan semangat untuk pasukan bagi mengharungi saingan liga A1, bermula Julai ini.

Katanya, pihaknya mensasarkan kos perbelanjaan pasukan tidak lebih RM1 juta termasuk pembayaran gaji pemain dan pengurusan.

“Dari segi gaji, kita ada gaji tetap dan bonus tapi tak mampu nak gaji mahal, import juga kita kecualikan.

“Kita guna seratus peratus pemain tempatan cuma kita juga ambil pemain senior dan berpengalaman, pernah beraksi di Liga Super dengan tiga, empat nama pernah mewakili pasukan besar seperti The Red Warriors (TRW),” katanya dalam sidang media di Majlis Penajaan PUC Sport bersama Kelantan WTS FC dan Nara FC serta perluasan Empayar PUC Sport Thailand di Hotel Perdana, di sini, malam ini.

Tajaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi.

Wan Muhd Ridhuan berkata, bagi musim ini, pasukannya mensasarkan empat tempat terbaik daripada 16 pasukan yang bertanding termasuk pasukan Korea Selatan, Seoul Phoenix FC.

“Antara saingan sengit kita adalah JDT II dan Selangor FC II,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shukry berkata, selain WTS, pihaknya turut menaja pasukan dari Thailand, Nara FC sebanyak 5 juta baht atau lebih RM500,000.

Katanya, pihaknya juga akan menaja satu pasukan Liga Super yang sudah dalam perbincangan 95 peratus.

“Segala sumbangan ini bagi program pembangunan akar umbi dan program bola sepak pasukan yang ditaja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top