sukan@hmetro.com.my
Seremban: Jurulatih Kelantan TRW FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui masalah besar yang dialami pasukan itu ialah di bahagian serangan sehingga mengundang empat kekalahan berturut-turut yang diharungi setakat ini dan terbaharu kepada Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super.
Pengendali itu yang mula mengambil alih tugas membimbing pasukan berkenaan menggantikan Elavarasan, sedar betapa masalah itu perlu diatasi secepat mungkin jika mahu memastikan Kelantan dapat bangkit pada perlawanan akan datang atau pusingan kedua liga.
“Itu yang berlaku dalam pasukan ini, kita dapat beraksi dengan baik, mengawal perlawanan, mencipta peluang jaringan di hadapan pintu gol lawan tapi penyudah tumpul.
“Situasi ini berlaku pada aksi malam ini (malam tadi), apabila kita mensesiakan sekurang-kurangnya empat peluang keemasan untuk menjaringkan gol.
“Walaupun mereka berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Negeri Sembilan (Azri Ghani) namun pemain gagal meletakkan bola ke dalam gawang lawan. Kita sepatutnya mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata tapi ketumpulan di bahagian serangan menyebabkan hasrat kita tersasar,” kata Akmal Rizal selepas perlawanan.
Mengulas lanjut persembahan anak buahnya, bekas pemain kebangsaan itu berkata, situasi yang melanda pasukan itu akan menjadi tumpuan pihaknya dan beliau berhasrat untuk cuba selesaikan menjelang aksi pusingan kedua liga.
Menurutnya, Kelantan TRW berhasrat untuk membawa masuk sekurang-kurangnya tiga pemain baharu pada sesi perpindahan kedua yang bermula 5 Januari ini dan pihak kelab sedang mengenal pasti mereka yang berkenaan sebelum diumumkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
