Kelompok COVID-19 Changi bimbangkan Singapura

Kelompok COVID-19 Changi bimbangkan Singapura

SINGAPURA: Peningkatan ketara kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu termasuk varian baharu mudah menjangkiti kanak-kanak, semakin membimbangkan kerajaan.

Antaranya, termasuk kelompok Lapangan Terbang Changi yang mencapai lebih 100 kes termasuk pekerja yang skop tugas tidak memerlukan mereka berinteraksi dengan penumpang, anggota keluarga mereka atau pun pekerja barisan hadapan.

Turut menjadi keprihatinan ialah penularan varian koronavirus baharu yang dilihat lebih menjejaskan kanak-kanak dan kewujudan kes tidak berkaitan menunjukkan terdapat kelompok jangkitan yang tidak dikesan.

Penumpang dari tempat yang disifatkan sebagai berisiko tinggi kini perlu menjalani Ujian Antigen Pantas (ART) setibanya di sini, selain ujian reaksi rantai polimerase (PCR) yang ditetapkan.

Bagi kes yang tidak berkaitan, terdapat 75 dilaporkan antara 7 Mei hingga 20 Mei, berbanding 68 kes yang dilaporkan pada awal tahun sebelum jumlah kes dalam masyarakat meningkat.

Kementerian Kesihatan (MOH), dalam kenyataannya semalam, berkata daripada 22 kes dalam masyarakat yang dilaporkan hingga 12 tengah hari semalam, lapan didapati tidak berkaitan.

Mengenai kebimbangan terhadap varian koronavirus baru, Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing, berkata kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 di Singapura menunjukkan simptom ringan dan tidak mengalami sakit serius

“Namun, ia tetap mencetuskan keprihatinan kerana varian baharu itu lebih mudah berjangkit dan seolah-olah lebih cenderung menyerang kanak-kanak berusia lebih muda.

“Justeru, langkah semua sekolah rendah, menengah, maktab rendah, Institut Millennia serta sekolah pendidikan khas (Sped) beralih ke pembelajaran dari rumah (HBL) sehingga hujung penggal sekolah 28 Mei ini sangat melegakan ibu bapa.

“Jumlah kes COVID-19 yang meningkat memang menakutkan tetapi seperti ibu bapa lain juga, kami hanya mampu mainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk menjaga keselamatan anak-anak,” katanya. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top