norhayati_nordin@hmetro.com.my
JOLOKAN ‘anak ayah’ sering dikaitkan dengan anak perempuan yang kebanyakannya mempunyai hubungan sangat rapat dengan bapa mereka sejak dari kecil berbanding ibu.
Situasi ini juga dihadapi oleh pelakon dan penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie Elham yang mengakui tidak pernah berjauhan dalam tempoh lama dengan anak perempuannya, Nayla Amanda, kini berusia dua tahun.
Ayie, 27, berkata, memandangkan dia akan sibuk dengan penggambaran filem Duyung: Legenda Aurora di Pulau Langkawi sepanjang bulan September ini, isteri dan anaknya turut dibawa ke sana juga.
“Saya dan Nayla memang sangat rapat, mungkin sebab dia anak perempuan. Malah, kami juga tidak pernah berjauhan dalam tempoh lama setakat ini.
“Lagi pula, saya ada terfikir macam mana nak tinggalkan Nayla selama dua minggu ini sebab tak pernah berpisah lama dengan dia. Paling lama pun, pernahlah dua ke tiga hari saja.
“Jadi, daripada tidak tenang nak bekerja nanti, saya nekad bawa isteri dan anak juga ke Langkawi. Biar mereka berdua sentiasa ada dengan saya, depan mata,” katanya melakonkan watak Dashman dalam filem itu.
Menurut Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, disebabkan tidak mahu memberi masalah kepada pihak produksi ketika bekerja nanti, dia sanggup menggunakan perbelanjaan sendiri untuk membawa bersama isteri dan anaknya itu.
“Saya okay saja untuk keluarkan perbelanjaan peribadi demi membawa isteri dan anak bersama-sama ke Langkawi. Bagi saya, rezeki yang dicari juga adalah untuk mereka,” katanya.
Berbicara pula mengenai filem Duyung: Legenda Aurora itu, Ayie berkata, dia berasa agak gementar kerana sebelum ini pernah menonton filem Duyung 2008 ketika berusia 11 tahun.
“Saya gembira dan bersyukur dipilih membintangi filem sekuel ini (Duyung: Legenda Aurora) kerana dah pernah tengok pun filem Duyung dulu. Filemnya bagus dan mencetus fenomena kira-kira 16 tahun lalu.
“Selain itu, terbabit dalam filem ini juga adalah satu penghargaan besar untuk saya kerana dapat berlakon dengan pelakon hebat seperti Maya Karin, Saiful Apek dan Yasmin Hani,” katanya.
Diarahkan Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen, filem Duyung: Legenda Aurora adalah terbitan KRU Studios Sdn Bhd dengan kerjasama 8 Bit Studio Sdn Bhd serta Primeworks Studios Sdn Bhd.
Barisan pelakon lain filem ini ialah Anna Jobling, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil, Aidilia Hilda, A Shukoor Mohaideen, Yassin Senario dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




