bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Hari Ibu sepatutnya disambut dalam suasana gembira hari ini, tetapi khabar duka pula yang diterima keluarga apabila polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui terbakar di tepi jalan Kampung Padang Air, Kuala Nerus pada 17 April lalu adalah ibu mereka.
Bagaimanapun, Wan Mahisyamri W Abd Manan, 39, yang juga anak sulung kepada mangsa, Che Janiah Jaafar, 55, reda dengan kejadian menimpa ibunya.
“Hari ini segala persoalan mengenai ibu akhirnya terjawab. Saya bersama enam adik beradik yang lain bersyukur apabila penantian kami selama lebih dua minggu terjawab apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat itu adalah ibu kami.
“Naluri kami memang kuat mengatakan itu mayat ibu apabila membuat pengecaman dan ketika itu, kami sudah reda dengan apa yang berlaku namun perlu menunggu keputusan DNA kerana ia membabitkan kes bunuh.
“Kami harap pelaku yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal. Kami akan menuntut jenazah ibu esok dan jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Wan Mahisyamri, arwah ibunya yang tinggal bersama dua adik lelakinya di Perumahan Awam Kos Rendah Cherang Guling, Bukit Payong, Marang keluar rumah pada 16 April lalu.
Mereka membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Bukit Payong, Marang pada 18 April lalu selepas tidak pulang ke rumah.
“Bagi pihak keluarga, saya harap masyarakat tidak membuat spekluasi atau kenyataan mengenai kejadian ini, biar polis jalankan tugas mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, mengesahkan mayat tanpa identiti yang ditemui terbakar di tepi jalan Kampung Padang Air, Kuala Nerus pada 17 April lalu disahkan seorang wanita yang dilaporkan hilang dari Marang.
Ia susulan keputusan ujian DNA yang diperoleh daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang kelmarin (Jumaat).
“Kita sudah maklumkan keputusan ini kepada ahli keluarga mangsa dan mereka dijangka menuntut jenazah mangsa esok.
“Mengenai dua lelaki berusia 30-an dan 60-an yang ditahan pada 1 Mei lalu, perintah reman yang sepatutnya berakhir 8 Mei disambung hingga 12 Mei ini.
“Kita sedang melengkapkan siasatan termasuk menyiasat motif pembunuhan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




