Keluarga terbuka pilihan Azeem

Fahmi (tiga dari kanan) dan Norazah (tiga dari kiri) menyerahkan kepada Azeem untuk memilih institusi pendidikan terbaik sama ada Universiti Houston atau Auburn sebagai destinasi menyambung pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya. – Foto Facebook Majlis Sukan Negara

BAPA kepada Muhammad Azeem, Fahmi Tajuid menerima dengan hati terbuka universiti yang bakal menjadi pilihan pelari pecut muda negara itu bagi melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Amerika Syarikat (AS).

Beliau dan isteri, Norazah Ibrahim sedia memberi pandangan dan panduan kepada anaknya untuk memilih pusat pendidikan terbaik sama ada Universiti Houston atau Auburn.

Fahmi bagaimanapun memberitahu, Azeem dilihat cenderung memilih Universiti Houston kerana institusi berkenaan menawarkan pengajian Sains Sukan seperti yang dihajatinya.

“Kita bagi peluang kepada dia untuk pilih, cuma dia sudah cakap (kedua-dua universiti) ada keperluan. Sebab itu dia sudah menyatakan (pilihannya) sama ada (Universiti) Houston atau Auburn.

“Maksudnya dia sudah nampak. Cuma dia perlukan pandangan dan panduan daripada kami. Pada masa sama, MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) juga banyak membantu kami dalam membuat pilihan,” katanya.

Media pada Rabu melaporkan Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia dilema dan masih dalam pertimbangan untuk memilih destinasi pengajian sama ada Universiti Houston dan Universiti Auburn di AS.

Fahmi menjelaskan, tarikan untuk Azeem memilih Universiti Houstan kerana bakal mendapat bimbingan legenda AS yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik sembilan kali, Carl Lewis selaku ketua jurulatih.

“Populasi penduduki Muslim di situ (Houston) juga agak ramai serta tambah pula adanya Carl Lewis selaku jurulatih. Jadi, memang itulah antara bayangannya sekarang.

“Namun bila dia terima (tawaran) Universiti Auburn pula, kami belum dengar lagi. Jadi perkara itu perlu dibincangkan antara kami, MSN dan KBS,” katanya.

Catatan terbaik Azeem itu berjaya memperbaharui rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s ketika menjuarai saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.