am@hmetro.com.my
Putrajaya: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menerima pengiktirafan atas kejayaan melaksanakan Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang mempercepatkan proses kelulusan Lesen Mineral (tanpa premis penyimpanan) daripada 61 hari kepada hanya tujuh hari.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi kenyataan berkata, pelaksanaan inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan kos pematuhan syarikat pedagang mineral sehingga 20 peratus.
Selain itu, katanya, ia turut akan merancakkan perdagangan domestik dan antarabangsa serta menjana hasil kerajaan dianggarkan sebanyak RM1.3 juta setahun.
“Pengiktirafan terhadap kejayaan ini diberikan melalui penganugerahan Sijil Penghargaan kepada JMG yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim pada 10 April lalu.
“Reformasi ini mencerminkan komitmen kementerian dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menyokong kelancaran operasi industri, khususnya sektor mineral negara.
“Projek ini dilaksanakan di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi memastikan peraturan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan berkesan, selain mengurangkan kos pematuhan kepada perniagaan dan rakyat,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, NRES berkata, RKB turut disokong melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024–2030.
Katanya, ia bertujuan memperkasa agensi kerajaan ke arah perkhidmatan berprestasi tinggi dan kesejahteraan rakyat.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan daya saing, mempercepat urusan pentadbiran dan menyokong pertumbuhan eksport mineral secara mampan,” kata kenyataan berkenaan lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd