am@hmetro.com.my
Setiu: Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah bersama enam rakan di Hutan Lipur Lata Payung, Sungai Tong, ditemukan lemas.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Katanya, Abed Mifzal Azman, 22, ditemukan kira-kira 9.30 malam pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, hasil tinjauan di kawasan Lata Payung mendapati kawasan tidak selamat untuk aktiviti riadah buat masa ini kerana cuaca yang tidak menentu dan dikatakan sering berlaku insiden kepala air.
“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai atau lata di Setiu buat masa ini kerana cuaca tidak menentu dan terdedah kepada ancaman insiden kepala air,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd Sarizan Mohammad Sapawi berkata, mangsa ditemukan tersangkut di celah batu oleh penduduk kampung.
“Operasi membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira 15 minit. Mangsa di bawa naik dari tebing setinggi kira-kira 2.5 meter dari lokasi ditemukan sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.
Mangsa yang berasal dari Johor Bharu dilaporkan datang bersama rakannya untuk berkelah sebelum kejadian kepala air berlaku kira-kira jam 5.15 petang.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai berada di atas batu berhampiran tebing sungai dan cuba menyelamatkan diri ketika kepala air melanda namun dihanyutkan arus deras.
Isnin lalu, seorang penuntut universiti yang sama, Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24 tahun, ditemukan lemas selepas mandi Kawasan air terjun Lata Changkah, Setiu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




