Kemampuan bangun inovasi AI baharu diiktiraf

mhafis@mediaprima.com.my

HATI mana tidak gembira dan bangga apabila usaha selama enam bulan mengikuti kursus berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) di India mendapat pengiktirafan.

Itu antara pengalaman dilalui Pegawai Bahagian Perisikan SPRM, Lukman Hakim Zainal, 43, yang mula meneroka potensi AI melalui kajian awal, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penerokaan teknologi sebelum penggunaan AI generatif menjadi semakin meluas sekitar tahun 2023.

Teknologi kecerdasan buatan (AI) itu kini sedang diteroka SPRM sebagai senjata baharu dalam memperkukuh risikan, dengan keupayaan memproses data dalam jumlah besar dalam tempoh singkat serta membantu mengenal pasti hubungan dan pola yang sukar dikesan secara manual.

Menerusi program di India itu, Lukman membangunkan projek akhir ‘Sentinel: MACC AI Criminal Intelligence Analytics’ iaitu sebuah sistem pintar berasaskan AI yang berupaya menganalisis data atau maklumat tidak berstruktur, menjana peta jaringan entiti dan menghasilkan paparan visual yang membantu dalam operasi termasuk pengurusan maklumat risikan.

Melalui pembangunan projek itu, beliau menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Program iaitu ‘Data Innovation Award’ pada Majlis Penutup Program yang berlangsung di IEG Campus, Kuala Lumpur selepas tamat kursus enam bulan di Chennai, Bangalore dan Hyderabad, India.

“Pada masa sama, saya juga banyak mendapat bimbingan, tunjuk ajar dan inspirasi daripada guru dan mentor di samping sahabat, rakan sepasukan, ketua serta pegawai kanan yang pernah dan sedang bersama saya sepanjang perjalanan hidup dan kerjaya.

“Saya percaya setiap individu yang hadir dalam kehidupan kita mempunyai peranan tersendiri dalam membentuk siapa kita pada hari ini,” kata anak keenam daripada tujuh beradik yang dilahirkan dan dibesarkan di Selayang, Selangor itu.

Akuinya, kejayaan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pencapaian diri, sebaliknya turut dinilai menerusi sejauh mana seseorang itu mampu memberikan nilai dan manfaat kepada orang di sekeliling.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut berpegang kepada prinsip hidup iaitu sentiasa berusaha memperbaiki hubungan dengan Allah dan sesama manusia, tidak berhenti belajar serta berusaha memberikan manfaat kepada orang lain.

Selepas tamat pengajian, beliau terlebih dahulu menimba pengalaman dalam bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan perisian di sektor swasta sebelum menyertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2011.

Beliau yang berpengalaman selama 14 tahun di SPRM berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan itu, beliau terbabit dalam bidang operasi perisikan, pemprosesan dan analisis maklumat, penerapan teknologi serta pembangunan keupayaan analitik bagi menyokong operasi penguatkuasaan undang-undang SPRM.

“Saya turut mengikuti pelbagai program latihan, perkongsian kepakaran dan pendedahan profesional bersama agensi serta institusi berwibawa pada peringkat nasional dan antarabangsa termasuk International Anti-Corruption Academy (IACA); Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC); Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat; Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat; Suruhanjaya Bebas Terhadap Rasuah (ICAC), Hong Kong; Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Cawangan Khas; dan pengukuhan kompetensi berterusan melalui program pembangunan kapasiti sepanjang kerjaya di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).

“Pendedahan itu merangkumi bidang operasi perisikan, penyiasatan, keselamatan siber, pelaksanaan teknologi, analitik data serta implementasi teknologi dalam operasi penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, dirinya sering diundang untuk berkongsi kepakaran berkaitan perisikan, teknologi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai program di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Antara pembabitan antarabangsa saya termasuk menyampaikan latihan dan perkongsian kemahiran kepada pegawai penyiasatan serta perisikan daripada agensi anti-rasuah yang membabitkan lebih 20 negara.

“Saya juga terbabit dalam forum anjuran UNODC dan DOJ AS yang menghimpunkan komuniti penguatkuasaan undang-undang daripada pelbagai negara termasuk pegawai polis, agensi anti-rasuah dan pendakwa raya, bagi tujuan perkongsian pengalaman, amalan terbaik serta pertukaran pengetahuan profesional,” katanya yang menjadikan pengalaman hidup dan sokongan keluarga antara kekuatan dalam kehidupannya.

Katanya, dalam jangka panjang, pengukuhan keupayaan SPRM melalui AI, teknologi dan analitik data diharapkan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat serta pelabur, memperbaiki persekitaran perniagaan dan menghasilkan kesan pengganda kepada pertumbuhan ekonomi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top