Rahsia udara toksik 9/11 terbongkar selepas 25 tahun

Rahsia udara toksik 9/11 terbongkar selepas 25 tahun

NEW YORK – Rahsia tersimpan selama 25 tahun akhirnya terbongkar selepas Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani mendedahkan puluhan ribu dokumen sebagai langkah meningkatkan ketelusan mengenai tahap sebenar ketoksikan udara susulan serangan 11 September 2001.

Penerbitan dokumen itu dibuat menjelang ulang tahun ke-25 tragedi 9/11 yang mengorbankan 2,977 nyawa akibat runtuhan Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC).

“Ia membongkar apa yang diketahui pihak perbandaran mengenai udara tercemar di sekitar Ground Zero dan langkah yang diambil bagi mengehadkan liabiliti,” kata Mamdani ketika sidang media pada Selasa lalu merujuk kepada 173,000 dokumen berkaitan kesihatan, kualiti udara serta tindak balas terhadap serangan itu yang dikongsikan secara dalam talian.

Pendedahan itu merupakan sebahagian daripada persetujuan dengan 9/11 Health Watch iaitu sebuah kumpulan yang memperjuangkan kepentingan mangsa dan turut mengambil tindakan undang-undang bagi memaksa pihak bandar mendedahkan dokumen berkenaan kepada umum sebelum ini.

Rahsia udara toksik 9/11 terbongkar selepas 25 tahun

erangan 9/11 meragut 2,977 nyawa di New York, Pentagon dan Pennsylvania. – Foto Agensi

Menurut Benjamin Chevat selaku pengarah kumpulan itu, empat pentadbiran Datuk Bandar berbeza menyembunyikan perkara sebenar daripada orang awam dan Kongres Amerika Syarikat (AS).

“Sejak dari awal, pihak perbandaran sedar mengenai bahaya bahan kimia toksik di Lower Manhattan dan Western Brooklyn pada masa itu. Tetapi, ia berterusan meyakinkan orang awam tentang kualiti udara di kawasan itu yang kononnya selamat,” ujarnya.

Pencemaran udara dan debu tebal yang berlarutan selama beberapa bulan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah yang masih dialami ribuan penduduk New York sehingga kini.

Ramai jatuh sakit

Mamdani percaya banyak pihak berkomplot untuk menyembunyikan hal tersebut.

“Orang ramai jatuh sakit kerana pemimpin yang mereka percayai berbohong dan memberi jaminan udara toksik itu selamat untuk dihidu. Kita mempunyai tanggungjawab terhadap setiap warga New York yang terjejas untuk memastikan ungkapan ‘jangan sesekali lupa’ bukan sekadar kata-kata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan nyata,” kata Mamdani, merujuk kepada ungkapan yang sering dilaungkan selepas tragedi 9/11.

Difahamkan, dokumen tambahan juga yang akan disiarkan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang dijangka mengaitkan dua bekas Datuk Bandar New York iaitu Rudy Giuliani yang memegang jawatan ketika kejadian itu dan Michael Bloomberg yang menggalas tugas pada Januari 2002 hingga Disember 2013.

Menurut Ketua Penasihat Undang-Undang New York City, Steven Banks, sebahagian dokumen itu berkaitan perbincangan pentadbiran Giuliani ketika itu mengenai liabiliti undang-undang dan risiko kesihatan kepada orang ramai.

Dalam tempoh beberapa minggu selepas runtuhan itu, pekerja dan penduduk dibenarkan kembali ke bangunan berhampiran termasuk One Liberty Plaza yang turut mengalami kerosakan.

Pencemaran udara dan debu tebal yang berlarutan selama beberapa bulan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah yang masih dialami ribuan penduduk New York sehingga kini. - Foto Agensi

Pencemaran udara dan debu tebal yang berlarutan selama beberapa bulan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah yang masih dialami ribuan penduduk New York sehingga kini. – Foto Agensi

Namun, ramai yang bekerja atau menetap di sekitar lokasi Ground Zero dilaporkan mengalami kemerosotan kesihatan. Ada yang mengalami masalah pernafasan atau gangguan sistem pencernaan manakala sebahagian yang lain menghidap penyakit yang berkembang dari masa ke masa seperti kanser. – Agensi

Info:

Menurut Program Kesihatan Pusat Dagangan Dunia (WTC), seramai 6,897 ahli program telah meninggal dunia setakat Mac 2024 termasuk 5,025 responden dan 1,872 mangsa yang terselamat.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) menganggarkan kira-kira 400,000 orang terdedah kepada bahan pencemar toksik, keadaan yang mencetuskan tekanan dan risiko kecederaan fizikal susulan serangan berkenaan.

Asbestos iaitu sejenis mineral yang digunakan dalam pembinaan Menara Berkembar WTC merupakan bahan yang diketahui boleh menyebabkan kanser. Pendedahan kepadanya dikaitkan dengan fibrosis pada paru-paru dan mesothelioma sejenis barah jarang berlaku.

 

Scroll to Top