Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Unit Integriti mengambil tindakan lanjut berhubung aduan keluarga kepada murid Tahun Empat Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan yang meninggal dunia baru-baru ini.
Beliau berkata tindakan itu perlu dilaksanakan selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
Fadhlina berkata beliau juga telah dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga murid itu.
“Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid.
“Keutamaan KPM pada masa ini adalah untuk memastikan keluarga diberikan ruang serta sokongan yang sewajarnya dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Fadhlina turut merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa serta seluruh keluarga Nur Qaira dan mendoakan mereka diberikan kekuatan, kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
Menurut laporan media, Nur Qaira mempunyai masalah jantung sejak berusia tiga bulan dan dikecualikan daripada menyertai kegiatan sukan di sekolah.
Ibu bapanya mendakwa seorang guru mengarahkan murid itu menyertai acara larian semasa pemilihan rumah sukan pada 15 April lepas walaupun pihak sekolah telah menerima surat perubatan mengenai keadaan kesihatannya.
Nur Qaira dilaporkan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada 24 April selepas mengalami muntah teruk dan bengkak pada sekitar mata sebelum disahkan mengalami kegagalan jantung akibat dekompensasi dengan kardiomiopati dilatasi.
Nur Qaira kemudian meninggal dunia di hospital berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
