Los Angeles, Amerika Syarikat: Pelakon suara terkenal yang menghidupkan watak Optimus Prime dalam francais ‘Transformers’, Peter Cullen meninggal dunia pada usia 85 tahun, lapor TMZ.
Ejen pelakon suara legenda itu memaklumkan portal hiburan itu bahawa Peter menghembuskan nafas terakhir pada di kediamannya, di sini, semalam, namun punca kematian mendiang masih belum diketahui.
Keluarga Peter memberitahu menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga dengan tenang.
“Peter Cullen pergi dengan tenang, dikelilingi keluarga tercinta dan sentiasa kekal di hati rakan-rakan serta peminat di seluruh dunia.
“Pihak keluarga meminta anda menghormati peninggalan legasi luar biasanya dengan berbakti kepada komuniti serta memimpin orang lain dengan belas kasihan, integriti dan kesetiaan, di samping sentiasa ingat pesanan ‘jadilah individu yang cukup kuat untuk berlemah lembut’,” kata wakil keluarga mendiang.
Peter meminjamkan suaranya untuk ketua Autobots, Optimus Prime bagi siri televisyen animasi asal “Transformers” pada era 1980-an dan kembali menggalas tanggungjawab sama bagi siri francais filem arahan Michael Bay itu.
Dalam filem pertama “Transformers”, Peter menyampaikan ucapan ikonik sebagai Optimus Prime pada babak akhir.
Dia juga terkenal dengan sumbangan suaranya untuk watak Predator dalam filem “Predator” pada 1987.
Selain itu, dia menggalas peranan suara Eeyore dalam ‘Winnie The Pooh’, Monterey Jack dalam “Chip ‘n Dale Rescue Rangers”, KARR dalam “Knight Rider” dan banyak watak lagi.
Mendiang juga pernah menjadi suara latar Mario menerusi siri animasi asal “Donkey Kong” pada era 1980-an.
© New Straits Times Press (M) Bhd
