SHAH ALAM – Kepimpinan tertinggi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu kembali ke meja rundingan dan menyelesaikan isu-isu berbangkit secara dalaman sekiranya ingin menyelamatkan Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, proses itu penting bagi menyelesaikan kemelut melibatkan kedua-dua parti berkenaan.
“Pada pandangan saya, PN masih mempunyai ruang untuk dipertahankan. Dalam politik, perbezaan pendapat bukan sesuatu yang luar biasa. Apa yang lebih penting ialah bagaimana perbezaan tersebut diuruskan.
“Langkah pertama ialah mengadakan rundingan secara tertutup dan berterusan antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti. Rundingan ini perlu memberi tumpuan kepada isu pembahagian kerusi, peranan setiap parti serta hala tuju jangka panjang gabungan.
“Selain itu, kedua-dua parti perlu mengelakkan pertikaian melalui media kerana ia hanya akan membesarkan persepsi bahawa hubungan mereka semakin retak. Sebarang perbezaan pandangan sebaiknya diselesaikan melalui mekanisme dalaman gabungan,” katanya kepada Sinar Harian.
Hubungan kerjasama antara Pas dan Bersatu dalam PN dilihat semakin menghampiri penghujung jalan apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pada Ahad mencadangkan kedua-dua parti itu bergerak secara berasingan pada pilihan raya akan datang.
Cadangan berkenaan tercetus selepas pertikaian terbuka mengenai kekuatan jentera pilihan raya, apabila Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa partinya tidak mempunyai jentera mencukupi sebagai pandangan ‘pekak’, selain ketegangan berhubung isu Perlis dan Negeri Sembilan.
Ditanya kesan terhadap kelangsungan PN sebagai gabungan politik sekiranya hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu semakin kritikal, Hussain Yusri berkata, implikasi paling besar ialah imej dan kestabilan sebagai sebuah gabungan politik.
Ini kerana katanya, kekuatan utama PN selama ini terletak pada kemampuan Pas dan Bersatu untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
“Pas mempunyai jentera akar umbi yang kuat khususnya di kawasan luar bandar dan Pantai Timur, manakala Bersatu mempunyai pengaruh dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu bandar dan separa bandar.
“Jika hubungan kedua-dua parti semakin renggang, pengundi mungkin melihat PN sebagai gabungan yang kurang stabil dan tidak mempunyai kesepaduan dalaman,” ujarnya.
Beliau menambah, keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan penyokong serta menyukarkan usaha menghadapi pilihan raya akan datang.
Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berpandangan, secara teknikal, PN sebagai sebuah gabungan politik mungkin masih boleh kekal walaupun berlaku perpecahan antara Pas dan Bersatu.
Namun katanya, persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada PN boleh terus wujud atau tidak, tetapi sama ada gabungan itu masih relevan dan berdaya saing tanpa Pas.
“Hakikatnya, Pas merupakan tunjang utama PN dari segi kekuatan akar umbi, jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta jentera pilihan raya. Dalam PRU15, majoriti kerusi yang dimenangi PN datang daripada Pas.
“Malah di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, kekuatan PN sebenarnya banyak bergantung kepada struktur organisasi Pas. Oleh sebab itu, sekiranya Pas keluar daripada PN, kesannya bukan sekadar kehilangan satu parti komponen, tetapi kehilangan aset politik terbesar dalam gabungan tersebut,” katanya.
Menjawab pertanyaan langkah yang akan diambil setiap parti khususnya dalam mendepani pilihan raya jika memperkukuhkan semula PN, Mashitah berkata, usaha utama yang perlu diambil ialah membina semula kepercayaan politik antara kepimpinan Pas dan Bersatu.
“Sekiranya perpisahan tidak dapat dielakkan, perkara paling penting ialah kedua-dua pihak mengelakkan pertembungan sesama sendiri secara besar-besaran. Jika Pas dan Bersatu bertanding di kawasan yang sama, kedua-duanya berisiko mengalami kekalahan kerana undi pembangkang akan berpecah.
“Dalam keadaan itu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka boleh menjadi medan ujian yang sangat penting. Kedua-dua pilihan raya negeri tersebut boleh digunakan untuk mengukur kekuatan sebenar setiap parti selepas perpecahan,” katanya.
Ujarya, jika Pas terbukti masih dominan di kawasan majoriti Melayu, maka parti itu mungkin lebih yakin untuk meneruskan pendekatan gabungan baharu seperti dicadangkan pemimpin parti itu sebelum ini.
“Akhirnya, sama ada PN kekal atau berpecah, realiti politik yang perlu diterima oleh semua pihak ialah tiada parti pembangkang Melayu yang mampu menumbangkan kerajaan secara bersendirian,” katanya.



