KUALA LUMPUR – Hormat keputusan mahkamah yang mengiktiraf kepimpinan baharu Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi memastikan agenda pembangunan sukan itu diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Pandangan iu disuara pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, berkata semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dibuat badan kehakiman negara.
Katanya, keputusan itu juga seharusnya membolehkan MCA merangka dan melaksanakan agenda pembangunannya tanpa sekatan lagi.
“Saya anggap keputusan mahkamah jelas bahwa pengurusan baharu boleh gunakannya sebagai punca kuasa kepada mereka untuk menguruskan (persatuan) seperti biasa sebegai pihak yang mempunyai kuasa menguruskan.
“Semua pihak perlu hormat keputusan mahkamah, siapa lagi yang harus kita hormat kalau tidak mahkamah sebagai bandan tertinggi.
“(Sepatutnya) tiada lagi larangan pengurusan sekarang untuk mengurus tadbir persatuan,” katanya pada Selasa.
Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan peletakan jawatan Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali sebagai presiden MCA serta Exco MCA, Dr Arun Kumar Beshamber Nath, dan Amarjeet Singh adalah sah.
Mahkamah Tinggi menetapkan bahawa peletakan jawatan individu-individu yang dinamakan di atas adalah mutlak dan telah tamat memegang jawatan masing-masing di dalam MCA dan tidak lagi mempunyai jawatan dalam persatuan.
Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa tiada sebarang cabaran dibuat terhadap kesahihan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pada 13 April 2025 dan Mesyuarat Agung Dwitahunan yang diadakan pada 27 April 2025.
Mahkamah Tinggi seterusnya mendapati bahawa cubaan oleh individu-individu yang dinamakan di atas untuk menarik balik peletakan jawatan mereka telah ditolak oleh persatuan, dan penolakan tersebut telah disampaikan melalui surat Persatuan bertarikh 23 April 2025.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Mahkamah Tinggi turut mengeluarkan arahan bagi menghalang individu-individu yang dinamakan di atas daripada menyatakan diri mereka sebagai pemegang jawatan, atau bertindak bagi pihak persatuan.
Pemakluman keputusan mahkamah itu dibuat Setiausaha Kehormat, Richard Tan Wuu Chyau dalam satu notis hari ini.
“Kami percaya bahawa keputusan ini membawa penyelesaian kepada perkara ini dan membolehkan semua pihak bergerak maju bersama dalam perpaduan.
“Marilah menumpukan usaha kolektif kita untuk membangunkan kriket Malaysia demi kebaikan generasi masa depan kita,” kata Richard dalam notis berkenaan.



