Kemelut pesawah tak sudah

Kemelut pesawah tak sudah

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menangani kemelut tidak berkesudahan yang melanda industri padi dan beras negara.

Pengerusinya, Norysharin Hamidon berkata, ini kerana MTEM percaya Industri Padi dan Beras (IPB) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) selaku pemegang amanah industri gagal melaksanakan fungsi mereka.

Katanya, suruhanjaya yang dicadangkan itu perlu menangani beberapa persoalan yang berupaya mengembalikan keyakinan kepada industri.

“Antaranya peningkatan kos penghasilan padi yang amat ketara dan tidak seimbang dengan pendapatan pesawah masih di bawah paras kemiskinan tegar (lingkungan RM700 hingga RM1,200 sebulan) serta peningkatan kos termasuk benih padi, racun, sewaan tanah, upah mengerjakan bendang dan banyak lagi.

“Cadangan harga beras baharu bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi memandangkan harga kawalan beras tempatan pada RM2.60/kg sejak 2014 yang tidak munasabah.

“Begitu juga cadangan harga belian padi lebih adil di samping menuntut ketegasan suruhanjaya membendung kenaikan harga barang dan perkhidmatan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Katanya, suruhanjaya terbabit perlu menangani usaha mengekang monopoli dan sabotaj kilang besar di samping menjamin pengeluaran benih berkualiti dan mencukupi mesti dipercepatkan serta ikhtiar menggunakan beras tempatan sebagai Beras Stokpail Negara demi mengurangkan kadar impot.

Katanya, ikhtiar meningkatkan pendapatan dan kebajikan 200,000 pesawah serta ahli keluarga mereka dengan sasaran RM4,000 hingga 5,000 sebulan boleh dijayakan melalui pertanian bersepadu, mengurangkan kos operasi dengan menggalakkan koperasi dan pertubuhan peladang kawasan membeli dan menyewa mesin pada kadar lebih murah serta meneruskan program subsidi bersasar untuk menambah pendapatan.

“MTEM berpandangan fungsi dan peranan asal Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) boleh dikembalikan bersandarkan kejayaan terdahulu mereka, namun menyerahkan kepada kebijaksanaan suruhanjaya membuat keputusan terbaik berlandaskan musyawarah.

“Suruhanjaya ini semestinya dianggotai pemegang taruh yang mewakili pelbagai kepentingan, khususnya dalam kalangan pesawah, pengilang kecil dan pengilang Melayu, pemborong, pakar industri dari akademia dan teknologis, agensi berkaitan serta tokoh yang tiada kepentingan,” katanya.

Katanya, MTEM khuatir sekiranya kerajaan tidak bertindak segera, Malaysia berdepan krisis keterjaminan makanan yang parah menjelang 2030.

Katanya, negara juga kemungkinan berdepan bantahan besar-besaran oleh rakyat sebagaimana terjadi di Perancis, Russia dan China suatu ketika dahulu kesan keruntuhan ekosistem keterjaminan makanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top