sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejayaan Selangor FC meraih slot ke separuh akhir Piala Cabaran 2024/2025 memberi semangat kepada pasukan untuk mengharungi musim hadapan dengan lebih baik.
Ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, setiap pemain yang diturunkan, mereka memberikan komitmen penuh untuk beraksi di atas padang bagi mendapatkan keputusan positif.
“Sejak saya datang ke sini, hari ini (semalam) saya berjaya menggunakan setiap pemain dalam skuad walaupun pemain Bawah 23 Tahun (B-23).
“Jadi, ini adalah sesuatu yang baik untuk masa depan pasukan. Bagi saya, ini adalah perkara yang paling penting. Sudah tentu, kita perlu layak dan keputusan seperti ini dapat memberi motivasi kepada pemain. Jadi, ini sangat penting bagi saya,” katanya.
Selain itu, pengendali dari Jepun itu juga berharap penyokong Red Giants akan terus menyokong pasukan dan bersama-sama mengharungi musim hadapan dengan lebih mencabar.
“Terima kasih banyak atas sokongan semua. Tahun depan akan menjadi cabaran baru dan tolong teruskan menyokong kami dan berjuang bersama kami. Ini adalah mesej saya kepada penyokong dan juga peminat Selangor,” katanya.
Terdahulu, Selangor FC tidak berdepan masalah besar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Cabaran selepas menang mudah 8-1 secara agregat ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Bagi saingan Liga Super pula, mereka berada di kedudukan kedua liga dengan 35 mata namun dikejar rapat oleh Sabah FC.
Sudah pasti kedua-dua pasukan ingin menamatkan saingan liga selaku pasukan kedua terbaik kerana ia bakal menawarkan slot ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




