Kementerian Pertahanan peruntuk RM10 juta laksana projek sosial murni – Utusan Digital

BERA: Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM10 juta melaksanakan projek sosial Jiwa Murni di seluruh negara, tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu membolehkan lebih banyak projek sosial dinikmati rakyat negara ini.

Katanya, projek Jiwa Murni membabitkan pembinaan rumah baharu, baik pulih rumah, penyelenggaran dewan, tanah kubur, masjid dan surau.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai unit kejuruteraan dan kepakaran membina projek Jiwa Murni dalam tempoh singkat serta menepati spesifikasi.

“Tahun ini, ATM menetapkan sekurang-kurangnya 50 projek dapat dilaksanakan di seluruh negara membabitkan pelbagai projek dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas lawatan projek Jiwa Murni penerima rumah Mohd. Tahir Nong Chik, 64, di Kuala Triang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Projek Jiwa Murni di Kuala Triang adalah sempena sambutan Hari Tenteta Darat ke-88 yang disambut pada 1 Mac lalu.

Aktiviti seumpama itu begitu signifikan dan bertepatan dengan tema iaitu ‘Sinergi Tentera Darat dan Rakyat: Tunjang Kedaulatan Negara’.

Ismail Sabri berkata, kerajaan-kerajaan negeri turut menyumbang lebih RM1 juta untuk projek Jiwa Murni.

“Bagaimanapun kerajaan negeri Sarawak mendahului kerajaan negeri lain menyumbang sebanyak RM1.5 juta,” katanya.

Beliau turut menggesa pihak korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi perbankan menghulurkan sumbangan kewangan supaya lebih banyak penerima projek Jiwa Murni dilaksanakan.

Tambah beliau, bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) projek Jiwa Murni bukan sahaja membabitkan orang awam tetapi juga bekas tentera yang memerlukan rumah lebih selesa. – UTUSAN ONLINE