Langkawi: Setiap koperasi pekebun kecil getah akan menerima geran RM300,000 sebagai galakan mereka menceburi bidang perniagaan getah krip (crepe rubber).
Menterinya,Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, geran di bawah kementeriannya itu dijangka mampu meningkatkan peranan dan taraf ekonomi pekebun kecil getah di negara ini.
Beliau berkata, pada peringkat permulaan kementerian menyasarkan 20 koperasi pekebun kecil menyahut cabaran memulakan perniagaan berkenaan.
“Kementerian bersedia memberikan geran RM300,000 kepada koperasi untuk membeli mesin memproses getah sekerap kepada getah krip.
“Ia bagi meningkat pendapatan pekebun kecil menerusi produk baru. Kaedah ini membolehkan koperasi membeli getah sekerap pekebun pada harga lebih tinggi kerana produk getah krip yang dihasilkan boleh dijual dengan harga lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Golongan Asnaf dan B40 Pekebun Kecil di Felcra Kampung Kok, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, Perbadanan Lembaga Getah Malaysia (LGMPC) akan membeli getah krip berkenaan untuk dieksport ke pasaran luar.
Katanya , keuntungan yang diperolehi koperasi akan dipulangkan kepada pekebun kecil selaku ahli koperasi menerusi pembayaran dividen lebih tinggi.
ZA137 Malay News
National Desk



