Kempen didik insurans hayat sambil bantu 5 NGO

Kempen didik insurans hayat sambil bantu 5 NGO

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Masalah Pembelajaran Daerah Petaling, Selangor (GOLD), Suri Lifestyle, Persatuan Wanita & Ibu Tunggal (WITUS), Reef Check Malaysia dan The Asli Co./Ajar Society dipilih menerima bantuan disalurkan Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).

Sumbangan itu adalah melalui dua kempen dijalankan sempena sambutan ulang tahun yang ke-50 LIAM baru-baru ini.

Kempen ini bertujuan mendidik rakyat Malaysia berhubung kepentingan perlindungan insurans hayat dan perancangan kewangan, yang berlangsung dari Jun hingga November 2024.

Bagi setiap penyertaan (sehingga 5,000), LIAM akan mendermakan RM10 kepada lima NGO dipilih itu dengan matlamat derma minimum sebanyak RM50,000.

Melalui Kempen #LIAMGoldenMoments, LIAM mengajak orang ramai berkongsi kenangan terindah mereka melalui penyertaan video peribadi.

Di samping menyumbang, peserta juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai yang besar dalam kategori seperti cabutan bertuah mingguan, video paling kreatif dan video paling berimpak, meraikan peristiwa penting dalam kehidupan sambil memupuk penglibatan bersama masyarakat.

Peserta akan berpeluang memenangi lebih RM45,000 hadiah wang tunai di samping membantu LIAM mengumpul dana RM50,000 untuk NGO dan perusahaan sosial terpilih.

Sementara itu melalui Kempen #LifeisFullofSurprises pula, ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepentingan perlindungan insurans hayat dalam melindungi individu dan keluarga daripada kejadian yang tidak dijangka, di samping mempromosikan celik kewangan.

Kempen ini menawarkan hadiah wang tunai RM50 setiap satu kepada 100 orang pemenang mingguan, menonjolkan kepentingan insurans hayat untuk mencapai keselamatan kewangan dan perancangan untuk masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top