Kempen #GengSubuhMacamJumaat oleh Alif Satar semakin popular

Kempen #GengSubuhMacamJumaat oleh Alif Satar semakin popular

KUALA LUMPUR – Usaha penyanyi dan pengacara popular, Alif Satar mengajak orang ramai terutama pengikutnya di laman media sosial menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid seperti solat Jumaat kini berbaloi apabila kempen itu mendapat sambutan positif.

Menggunakan, tanda pagar #GengSubuhMacamJumaat, pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar kini sering berkongsi hantaran memaparkan beliau dan beberapa individu lain yang turut sama menyambut baik pelawaannya itu.

Dapat dilihat, Alif dan kesemua jemaah tersebut kemudiannya makan beramai-ramai di perkarangan masjid seusai solat Subuh serta mendengar kuliah agama di masjid berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan Alif yang berjaya mengajak orang ramai untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.

Menurut mereka, Alif bijak menggunakan pengaruhnya sebagai seorang selebriti yang dikenali dengan mengajak para pengikutnya untuk melakukan kebaikan.

Sementara itu, bapa kepada tiga anak itu memberitahu, pada awalnya dia ingin memperbetulkan diri sendiri selepas terkesan dengan ceramah seorang ustaz semasa mengikuti sebuah kelas agama.

“Dalam kelas itu, ada yang tanya macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu tanya kembali, solat Subuh di rumah atau di masjid? Individu itu jawab dia solat di rumah kerana takut mengantuk.

“Jadi ustaz itu jawab kalau mengantuk pun takut, macam mana nak lawan tentera Zionis? Kemudian ustaz itu kongsi hadis yang saya tidak pernah dengar iaitu waktu paling berat buat si munafik adalah Isyak dan Subuh.

“Bila dengar itu, rasa terkesan sebab saya ajak pengikut Instagram bangun awal dan mulakan dengan senaman jam 5.30 pagi sebelum buat rutin lain, walhal sepatutnya kena mulakan dengan Subuh. Jadi inisiatif itu sebenarnya untuk betulkan diri saya juga, bukan terfikir satu gerakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Alif menjelaskan perkara itu ketika ditemui selepas tayangan filem terbaharu lakonannya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MalaysiaGazette